SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerajaan Negeri berhasrat menyusun semula gerak kerja bagi menghadapi bencana termasuk gempa bumi.
EXCO pengurusan bencana berkata pihaknya menjangkakan penyusunan gerak kerja bermula selewatnya Jun dengan menghantar pegawai terlibat berlatih di luar negara.
"Sebelum ini kita mungkin banyak fokus pengurusan bencana yang sering berlaku seperti banjir atau tanah runtuh tetapi letupan pula yang berlaku di Putra Heights baru-baru ini.
"Kita juga mengambil iktibar gempa bumi yang berlaku di Thailand dan Myanmar…kita lihat sebelum ini negara terbabit tidak berisiko tetapi kini terjejas susulan perubahan pergerakan plat tektonik.
"Pegawai pengurusan bencana akan dihantar ke negara yang mempunyai pengalaman dalam tadbir urus pascabencana selewatnya Jun depan," kata Mohd Najwan Halimi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik yang dihadiri lebih 5,000 penduduk setempat.
[caption id="attachment_697680" align="aligncenter" width="738"] EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor Seksyen 7, Shah Alam pada 20 April 2025. Foto SITI ROHAIZAH/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, Mohd Najwan memaklumkan kerja-kerja pembersihan di kawasan letupan saluran paip gas di Putra Heights masih diteruskan secara berperingkat.
“Pembersihan di kawasan kejadian masih dilaksana cuma bukannya secara besar-besaran seperti yang kita lakukan minggu lalu. Kita tidak boleh jalankan kerja pembersihan sesuka hati.
“Bagi laporan awal berhubung kejadian akan dimaklumkan Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan selepas mesyuarat yang diadakan pada minggu depan,” katanya.