ad
AGENDA

Pengawal keselamatan lepaskan tembakan diambil keterangan

20 Apr 2025, 11:37 AM
Pengawal keselamatan lepaskan tembakan diambil keterangan

SHAH ALAM, 20 APRIL: Polis merakam keterangan pengawal keselamatan dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian pengawal berkenaan sedang bertugas di Hospital Banting yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Setakat ini polis tidak menahan pengawal keselamatan terbabit dan hanya merakam keterangan berhubung kejadian berkenaan.

"Lelaki warga tempatan yang ditembak dalam kejadian pada petang 19 April itu pula mengalami patah tulang kaki kanan dipercayai akibat terkena tembakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Semalam, tular di laman sosial video memaparkan seorang lelaki dalam keadaan mengamuk mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.