ad
AGENDA

Selangor FC sahkan Faisal Halim alami retak tulang hidung

20 Apr 2025, 10:02 AM
Selangor FC sahkan Faisal Halim alami retak tulang hidung

SHAH ALAM, 20 APRIL: Pemain sayap Selangor FC (SFC) Faisal Halim mengalami keretakan di bahagian tulang hidungnya ketika beraksi dalam perlawanan penutup Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

SFC yang mengesahkan perkara itu memaklumkan Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey akan dirawat secara konservatif selain mendapatkan pemeriksaan rapi dalam masa terdekat.

“Doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) menjelaskan Faisal mengalami 'fracture nasal bone with mucosa laceration'.

“Bagaimanapun, tiada kesan membahayakan untuk beliau beraksi di atas padang. Pihak pengurusan mendoakan agar beliau cepat sembuh. Terus kuat, Mickey!,” katanya di Facebook.

Semalam, hidung Faisal berdarah selepas pelanggaran dengan pemain Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) Faith Friday Obilor pada minit ke-54.

Menerusi perlawanan tersebut, skuad Gergasi Merah menutup kempen musim ini dengan menewaskan PDRM FC 2-0. Dua gol dihasilkan Alvin Fortes dan Yohandry Oroczo pada minit tambahan.

Mei tahun lalu, Faisal mengalami melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, dekat sini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.