ad
AGENDA

MB: Mesyuarat tangani banjir kilat libat PBT, agensi diadakan esok

20 Apr 2025, 9:52 AM
MB: Mesyuarat tangani banjir kilat libat PBT, agensi diadakan esok
MB: Mesyuarat tangani banjir kilat libat PBT, agensi diadakan esok

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerajaan Selangor mengarahkan mesyuarat koordinasi melibatkan pihak berkuasa tempatan berkaitan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dijalankan segera esok bagi menangani isu banjir kilat di Taman Sri Muda dan Taman Sri Andalas.

Dato’ Menteri Besar berkata arahan turut dikeluarkan kepada EXCO Infrastruktur Dato’ Izham Hashim untuk mengatasi segera semua isu yang menyebabkan proses pembinaan usaha tebatan banjir sama ada di peringkat tempatan, negeri atau persekutuan belum dapat disegerakan sepenuhnya.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pentadbiran negeri komited memastikan supaya isu itu mendapat penyelesaian menyeluruh dan sebarang insiden tidak diingini ditangani sewajarnya.

“Saya melihat sendiri kesan banjir kilat akibat kadar hujan tinggi minggu ini dan memberikan impak terhadap penduduk terutamanya di kedua-dua kawasan ini.

“Pejabat saya turut dihubungi penduduk yang menyatakan keresahan serta kerisauan mereka terhadap situasi yang berulang kerana komponen Rancangan Tebatan Banjir yang dirasai kurang disegerakan.

“Sebagai usaha permulaan, setiausaha politik saya Saifuddin Shafi akan memanggil mesyuarat koordinasi segera esok melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Diraja Klang serta JPS agar isu ini dapat ditangani segera,” maklumnya menerusi kenyataan.

Amirudin menambah penyelesaian jangka panjang harus dilaksanakan segera melalui kerjasama semua pihak termasuk kerajaan persekutuan.

“Meskipun hampir empat tahun telah berlalu, episod ngeri bah besar Disember 2021 masih terlekat dalam ingatan setiap rakyat Selangor dan tiada sesiapa mahu melihatnya berulang lagi,” ujarnya.

Minggu lalu, banjir kilat kembali melanda Taman Sri Muda susulan hujan lebat sejak tengah malam diikuti air laut pasang.

[caption id="attachment_696113" align="aligncenter" width="1064"] Keadaan banjir kilat yang melanda kawasan di Sri Muda pada 11 April 2025. Foto AFIX REDZUAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.