GEORGE TOWN, 20 April: Dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada dua lelaki melibatkan kes pengedaran dadah di Bayan Lepas, semalam.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai meminta rasuah kira-kira RM1,500 daripada dua lelaki yang sebelum itu telah ditahan oleh penduduk di satu kawasan pangpasuri di Bayan Lepas kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah.
"Ketika dibawa ke pejabat bagi urusan siasatan, seorang daripada suspek meminta wang RM1,500 daripada dua lelaki berkenaan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka.
"Seorang daripada lelaki itu kemudian membuat pindahan wang RM200 menerusi aplikasi e-dompet ke akaun seorang daripada anggota berkenaan yang turut meminta agar sebuah motosikal mereka ditinggalkan sebagai cagaran bagi membayar baki RM1,300 yang diminta," katanya.
Susulan itu, lelaki tersebut telah membuat aduan di Pejabat SPRM Pulau Pinang sebelum SPRM bertindak menahan kedua-dua anggota berkenaan sekitar 7.30 malam hingga 9 malam tadi bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 19(a) Akta SPRM 2009.
--BERNAMA