ad
BUDAYA

Mengintip di balik Rear Window 

20 Apr 2025, 12:30 AM
Mengintip di balik Rear Window 

Oleh Adam Taufiq Suharto

 

Sudah  lama sekali, sejak terakhir kali saya menonton Rear Window (1958) sehingga menontonnya semula benar-benar meriakkan kagum dan uja kerana bukan sahaja kerja-kamera, dan lagak-arah Hitchcock dalam filem ini begitu takjub, tetapi kerana baru sedar,  betapa filem yang ringkas begini, begitu berlapis, begitu rinci. Kali ini juga agak berbeza pengalaman menontonnya kerana kali ini, saya menontonnya dalam satu tayangan bersama-sama para fotowan hobi dan fotowan warta yang demi sesungguhnya dapat mengaitkan diri mereka dengan watak utama filem ini, Jeff (diperankan James Stewart), seorang fotowan warta yang terkurung di rumah akibat patah kaki lalu mencari-cari ‘berita’ yang mengujakannya di sekitar kejiranannya dengan mengintip; via teropong dan via kamera-lensa panjangnya.

Pengintipan Jeff terhadap pembunuhan jiran yang bertentangan tingkap belakang rumahnya itu mungkin adalah premis ceritanya, alur ceritanya, tetapi sebenarnya Rear Window bercakap tentang banyak hal-hal lain. Antaranya tentang bagaimana masyarakat Amerika semakin menjadi materialistik (via watak si pembunuh yang sering dipadankan dengan objek-objek barang kemas mendiang isterinya) dan masyarakat yang semakin mengindividualistik (ini semakin jelas via dialog oleh seorang jiran yang kematian anjingnya).

Malah hal individualistik ini dapat dilihat dalam adegan-adegan sesama jiran yang tak ramah mesra dan tak bertegur sapa malah saling tak mengenali. Tindakan Jeff untuk intai-intip itu pula ada kalanya terlihat sebagai tidak sopan kerana melanggar moral dan etika waktu itu yang mana beberapa kali diulang ada undang-undang yang menegaskan tentang‘menceroboh’ privasi orang lain itu biarpun via pandangan adalah salah, tak bermoral seperti dialog yang diungkapkan jururawatnya, "Oh, dear. We've become a race of Peeping Toms". Namun, tindakan ‘menjaga tepi kain orang’ oleh Jeff adalah tindakan mengambil tahu dan antitesis kepada apa yang dipegang boleh masyrakat pada waktu itu.

Oh ya, tambah lagi si Jeff yang ‘hilang kaki’ ini, dan terperuk di rumah ini adalah seorang fotowan warta, maka apatah lagi fitrahnya dia kalau bukan ‘mengambil tahu’, ‘ingin tahu’ dan ‘memberi tahu’? Seusai tayangan filem ini, seorang fotowan warta yang turut sama-sama menonton filem ini dalam tayangan yang sama memberitahu memang lagak seorang fotowan warta begitu, malah lebih ‘menjaga tepi kain orang’ lagi kerana dengan sikap itulah mereka akan mendapatkan foto dan momen. Maka itu, dalam Rear Window, intai-intip yang bermula sebagai sebuah libur-hibur, akhirnya menjadi beban yang tak terlepaskan. Bukan pada Jeff saja, tetapi pada tunangnya, pada jururawatnya, pada teman polisnya yang kesemua mereka pada awalnya hanya menganggap Jeff sudah di luar siuman, akhirnya sama-sama merasa ada yang tidak siuman dengan apa yang terjadi di balik jendela jiran yang bertentang dengan jendela Jeff.

Selain itu, sepanjang filem ini ada ditunjukkan proses ‘kemenjadian’ hubungan Jeff dan tunangnya, Lisa (diperankan Grace Kelly). Jeff beranggapan yang Lisa dan dia tak akan dapat hidup bersama kerana dia seorang fotowan warta, sukakan bahaya, ghairahkan kembara. Sementara Lisa, anggun, bergaya, elegen, sempurna... tetapi menurutnya tidak ‘sempurna’ untuk melakukan hal-hal yang Jeff kerjai dan hidupi. Lisa pula berkeras dan cuba menyakinkan Jeff supaya menjadi fotowan dalam lapangan yang lain bagi genre yang kurang berbahaya dan membolehkan dia untuk berada di rumah selalu; fesyen, komersial etsetera etsetera, lalu Jeff tanpa berbasa-basi membalas, "Can you see me driving down the fashion salon in a jeep, wearing combat boots and a three-day beard?" Lisa tak faham, Lisa tak akan faham, itulah yang sentiasa berlegar dalam fikirasa Jeff.

Sebenarnya di balik hubungan tarik tali antara Jeff dan Lisa ini yang cuba diselitkan adalah tentang nilai semasa itu. Soal dikotomi antara perkahwinan dan kerjaya menjadi dilema yang berulang-ulang seputar Jeff termasuklah kejiranan via tingkap belakang rumahnya yang diintai-intipnya. Jeff begitu skeptikal dengan perhubungan dan perkahwinan malah skeptikalnya juga adalah hasil intai-intipnya terhadap kejiranannya. Kendati itu, menuju klimaks, ternyata Lisa membuktikan dia wanita yang tak terjangka, suka bahaya, dan berani mati (untuk cinta dan yang dicintai?). Dialah yang masuk ke rumah pembunuh itu untuk mendapatkan bukti. Menariknya, pada penghujung filem, pakaian Lisa sudah berubah kepada yang lebih ranggi dan membaca buku kembara ke Himalaya sementara yang ironik, dan kaki Jeff yang berbalut menjadi dua.

Hal ini yang menarik kerana Jeff yang sebelumnya merungut dan bersungut tak mahu terus tinggal di rumah dan gatal untuk keluar, akhirnya perlu menambah lagi cuti sakitnya dan barangkali dia sudah tersedar, bahawa ‘menangkap’ momen itu tak seharusnya keluar. Dia juga kelihatan tenang dan tidur tersenyum seperti seorang fotowan warta yang telah berjaya menyelesaikan tugasan yang memuaskan diri. Tentang kejiranan Jeff, kita juga sendiri nampak yang jiran-jiran Jeff yang sepanjang filem punyai masalah masing-masing, akhirnya menemui penamat yang bahagia, seperti mana juga kes pembunuhan itu telah selesai, seperti mana akhirnya Jeff menerima Lisa dan Lisa menerima Jeff. Ternyata, sepanjang filem, Jeff menerusi lensa kamera bukanlah mengintai orang-orang lain di luar melainkan yang diintainya adalah dirinya sendiri. Jika ada pepatah fotografi, ‘setiap gambar adalah potret kendiri (self-portrait)’, untuk filem ini, ‘setiap intaian adalah diri sendiri’.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.