GOMBAK, 19 APRIL: Sebanyak 4,318 peluang pekerjaan ditawarkan pada Karnival Jelajah Jobcare Selangor 2025 daerah Gombak hari ini, dengan tawaran gaji mencecah sehingga RM13,000.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 3,074 jawatan kosong yang ditawar melebihi paras gaji minimum iaitu RM2,000 sebulan.
Menurut beliau, program berkenaan melibatkan kira-kira 26 majikan daripada sektor industri pembuatan, penginapan dan aktiviti perkhidmatan serta makanan dan minuman.
Sektor lain, katanya, pemborong barangan rumah, aktiviti kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial serta lain-lain perkhidmatan.
“Hari ini ini kita dapat mengumpulkan kira-kira 26 majikan dengan kekosongan jawatan sebanyak 4,318, ada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, aktiviti kesihatan dan perkhidmatan lain.
“Malahan ada gaji yang besar ditawarkan antara RM6,000 hingga RM13,000 seperti syarikat Carsome tawar gaji RM13,000. Ini bermakna di sini, bukan hanya tawarkan kerja sokongan tetapi juga kerja eksekutif atau tawaran layak untuk mereka (pencari kerja),” katanya.
[caption id="attachment_697505" align="alignnone" width="748"] Suasana orang ramai menghadiri Karnival Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Seri Siantan Selayang Selangor pada 19 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Ditemui selepas meninjau program berkenaan di Dewan Seri Siantan, Selayang di sini, Amirudin berkata sebahagian besar peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah di sekitar Selangor.
“Saya percaya ia adalah satu tawaran yang boleh direbut terutama masyarakat sekitar yang sedang mencari peluang pekerjaan,” katanya.
Menurutnya lagi, jelajah JobCare Selangor selepas ini akan diteruskan ke daerah Petaling pada 24 Mei di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) SS3.
Sebelum ini, EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata Jelajah JobCare Selangor yang menjelajah ke sembilan daerah bermula akan menawarkan lebih 40,000 peluang pekerjaan termasuk untuk orang kelainan upaya (OKU) dan bekas banduan.