SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Selangor sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai pembaikan rumah yang terjejas susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata taklimat berkenaan perkara itu akan diadakan selewat-lewatnya dua minggu lagi.
Menurutnya, pembangunan atau pembinaan semula rumah berkenaan melibatkan peruntukan besar dan ia perlu komitmen daripada kerajaan persekutuan.
"Bina rumah akan bermula sebab kita telah muktamadkan dan akan panggil semua pihak terlibat. Saya sendiri sudah bertemu menteri KPKT (Nga Kor Ming) bagi membincangkan perkara ini.
[caption id="attachment_697362" align="aligncenter" width="1117"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Ehsan Raya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS, Shah Alam pada 18 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Sekarang, saya hendak selesaikan bab sewa terlebih dahulu dengan semuanya akan diserahkan pada minggu depan," katanya ketika ditemui pada Majlis Ehsan Raya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan lebih enam bulan bagi bantuan sewa rumah kepada mangsa terlibat.
Beliau berkata mangsa juga ada hak untuk memilih sama ada mahu mengambil rumah sewa yang diuruskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) atau Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
"Tetapi awal-awal ini kita bagikan dulu untuk tiga bulan sebab ada sebahagiannya sudah boleh pulang selepas sebulan atau dua bulan. Ini disebabkan rumah mereka itu hanya mengalami kerosakan kecil.
"Namun, Kerajaan Negeri berpendapat adalah lebih baik memberikan duit sewa berpatutan yang boleh digunakan untuk keperluan harian termasuk bayar deposit rumah sewa," katanya.
Sementara itu, mengulas kenyataan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan Dr Afif Bahardin mengenai Kerajaan Negeri tidak melibatkan ADN pembangkang dalam taklimat khas insiden berkenaan, Amirudin menegaskan ia hanyalah tanggapan kosong.
"Itu adalah permintaan ADN, kerajaan ingin mendengar taklimat, jadi kita beri taklimat. Banyak taklimat ditumpukan, bantuan sokongan pun telah diberikan.
"Malah, dalam laman sesawang berkaitannya juga disediakan. Kalau dia (Afif) nak tahu boleh rujuk laman sesawang itu sejauh mana kita telah bantu. Siasatan pun masih berjalan," katanya.
[caption id="attachment_697365" align="aligncenter" width="1095"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (kiri) di Majlis Ehsan Raya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS, Shah Alam pada 18 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]