OLEH AIDA NYAN
SHAH ALAM, 17 APRIL: Sumbangan tunai Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi kelegaan kepada seorang ibu yang terpaksa menanggung kos perubatan anaknya yang menghidap pelbagai penyakit kronik.
Hanisah Hamzah, 37, berkata bantuan berjumlah RM5,000 yang diterimanya akan dimanfaatkan untuk membeli mesin perubatan.
“Kos mesin perubatan ini telah mencecah RM5,000. Saya memohon bantuan ini pada awal Ramadan, dan tidak sangka permohonan saya diluluskan. Ini adalah rezeki anak saya,” ujarnya sebak.
Bantuan yang disalurkan melalui peruntukan zakat wakalah ini turut memberikan manfaat kepada pelbagai golongan lain, termasuk pelajar, peniaga kecil, dan atlet negeri.
[caption id="attachment_697351" align="alignleft" width="473"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor memberi sumbangan kepada Emil Idzhar Ezuan, pada majlis penyampaian sumbangan MBI di Bangunan Darul Ehsan pada 18 April 2025.Foto AMIR IMRAN/MEDIASELANGOR[/caption]
Sementara itu, Nurfarida Dinisha Muhammad, 34, bersyukur selepas menerima bantuan bagi membaik pulih kedai makan miliknya yang terbakar hujung tahun lalu. “Saya cuma peniaga kecil, jadi apabila mendapat bantuan ini, ia amat bermakna. Proses permohonannya pun sangat mudah,” katanya.
Pelumba motosikal negara, Emil Idzhar Ezuan, 18, turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diterimanya. “Bantuan ini sangat membantu, apatah lagi saya sedang giat menjalani latihan. Sebelum ini pun MBI pernah bantu saya ke kejohanan di Sepanyol,” katanya.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor, berkata sumbangan diberikan mengikut keperluan pemohon, termasuk dalam bidang pendidikan, perubatan, dan sokongan kepada atlet negeri.
“Penerima hari ini terdiri daripada mereka yang memerlukan bantuan untuk membeli ubat, meneruskan pelajaran dan ada juga atlet yang mengharumkan nama negeri,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan di Bangunan Darul Ehsan.
Katanya lagi, bantuan diberikan kepada 10 individu pada sesi kali ini, dan permohonan bantuan MBI dibuka sepanjang tahun.
“Pemohon hanya perlu menghantar e-mel ke [email protected] dan sertakan dokumen sokongan. Kami akan menilai permohonan secara teliti,” jelasnya.