ad
AGENDA

MB: Permohonan Insentif Haji Muassasah Selangor dibuka mulai 22 April

18 Apr 2025, 9:51 AM
MB: Permohonan Insentif Haji Muassasah Selangor dibuka mulai 22 April

SHAH ALAM, 18 APRIL: Permohonan Insentif Haji Muassasah sebanyak RM1,000 akan dibuka bermula Selasa ini sehingga 25 Julai depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bakal jemaah yang mengundi di Selangor boleh memohon insentif berkenaan di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Sejak 2022, seramai 12,000 jemaah muassasah dibantu oleh Kerajaan Negeri, iaitu 3,000 jemaah masing-masing pada 2022 dan 2023, manakala 6,000 jemaah menerima manfaat ini pada tahun lalu.

“Bagi tahun ini pula, Kerajaan Selangor menawarkan Insentif Haji Muassasah yang akan memberikan RM1,000 kepada 6,000 bakal jemaah haji muassasah dengan peruntukan sebanyak RM6 juta,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pemohon perlu membawa:

i) salinan bercetak Jadual Penerbangan Haji Muassasah Tahun 2025 dengan paparan KOD MUAS.

ii) salinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengesahkan bakal jemaah adalah warga yang mengundi di Selangor.

Menurut Amirudin, insentif berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN, Pejabat Penyelaras DUN, dan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Saya berharap usaha ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi para jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman pada tahun ini,” katanya.

Insentif Haji Muassasah diselaras MBI sebagai tanda kepedulian dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat negeri ini yang bakal menunaikan haji.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.