ad
BERITA UTAMA

Sukarelawan, agensi kerajaan gembleng usaha bersih sisa, pulih kerosakan

18 Apr 2025, 8:00 AM
Sukarelawan, agensi kerajaan gembleng usaha bersih sisa, pulih kerosakan
Sukarelawan, agensi kerajaan gembleng usaha bersih sisa, pulih kerosakan
Sukarelawan, agensi kerajaan gembleng usaha bersih sisa, pulih kerosakan
Sukarelawan, agensi kerajaan gembleng usaha bersih sisa, pulih kerosakan
Sukarelawan, agensi kerajaan gembleng usaha bersih sisa, pulih kerosakan
Sukarelawan, agensi kerajaan gembleng usaha bersih sisa, pulih kerosakan

Usaha memulihkan semula penempatan penduduk Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru di Subang Jaya yang terjejas teruk akibat letupan saluran gas pada 1 April digembleng pelbagai pihak.

Fasa pemulihan itu diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Johary Anuar bagi memastikan kaedah baik pulih rumah, jalan, infrastruktur dan kemudahan awam berkesan serta lancar.

Kerja pembersihan itu susulan penutupan kedua-dua pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights pada 13 April. PPS itu sebelum ini dihuni 210 mangsa yang berpindah ke rumah sewa atau penempatan sementara.

Sebuah lagi PPS iaitu Dewan Camelia yang menempatkan 60 mangsa terdiri 16 keluarga ditutup lebih awal iaitu pada 9 April.

Meski pembersihan awal bermula sejak 3 April, kerja tersebut digiatkan lagi melalui program gotong-rotong besar-besaran dalam Ops Mega Pembersihan selama dua hari berturut-turut.

Kira-kira 4,600 sukarelawan berganding bahu membersihkan kedua-dua kawasan itu mulai 12 April, dibantu kelengkapan jentera dan aset pembersihan yang disediakan agensi kerajaan seperti berikut.

  • Sebanyak 264 kenderaan digunakan sepanjang operasi itu antaranya lori water jetter, lori tangki air, jentera pengorek kaut, penyapu jalan, mesin pencincang kayu dan kren pengangkat
  • Anggota dari 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam usaha pemulihan yang meliputi 90 peratus sisa kebakaran
  • Anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, KDEB Waste Management (KDEBWM), Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) seliaan Majlis Sukan Negeri turut sama mencurah keringat

Sambil melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha pemulihan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO negeri dan pegawai atasan kerajaan turut turun padang bersama-sama sukarelawan.

“Hampir 80 hingga 90 peratus pembersihan di Putra Heights diselesaikan KDEBWM.

“Saya berharap operasi ini selesaikan pembersihan di kawasan awam dan bantu meringankan beban pemilik rumah yang mula memasuki rumah mulai pertengahan atau awal minggu ini,” kata Amirudin pada 12 April.

Lokasi pembersihan tersebut melibatkan tiga sektor iaitu A dan B meliputi kawasan Taman Putra Harmoni manakala C merangkumi 12 zon kendalian 12 PBT.

Kampung Kuala Sungai Baru lebih sukar dibersihkan berikutan kedudukan rumah tidak tersusun, berbeza taman perumahan seperti Putra Heights dan Putra Harmoni. Justeru, lebih banyak usaha dan masa dijalankan di situ.

Tong pukal juga ditempatkan KDEBWM di setiap lorong bagi memudahkan sukaralewan atau pemilik membuang sampah termasuk perabot, televisyen dan perkakasan lain yang musnah atau rosak.

Tumpuan utama diberi kepada kerja membersihkan longkang, jalan, lorong belakang, parkir, tembok rumah, pemotongan pokok terbakar serta bantuan mengangkat barangan rumah yang rosak.

Setakat 13 April, lebih 500 tan sisa sampah pukal diangkut dari kedua-dua kawasan itu. Lebih 120 tan sampah pukal termasuk perabot rosak dikeluarkan pada hari pertama operasi tersebut.

[caption id="attachment_696370" align="alignnone" width="801"] Antara sukarelawan dan anggota daripada pelbagai agensi digerakkan dalam operasi mega pembersihan di kawasan terjejas akilbat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru pada 12 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Baik pulih, sewa rumah

Tragedi itu mengakibatkan 437 rumah rosak teruk. Sebanyak 81 daripadanya musnah sepenuhnya. Baki 219 lagi terjejas iaitu 87 mengalami kerosakan besar, sementara kerosakan kecil pada 132 kediaman.

Keadaan tersebut menyebabkan penduduk terpaksa dipindah ke penempatan lain berikutan sebahagian besar premis tidak selamat untuk diduduki berdasarkan pemeriksaan bomba.

  • Kerajaan Negeri tawar 100 unit rumah bawah Skim Smart Sewa di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang pada sewa bulanan RM850 untuk lima tahun. Premis itu rumah baharu tiga bilik berkeluasan 1,000 kaki persegi dan dilengkapi bekalan elektrik dan air
  • Setakat 16 April, seramai 75 mangsa berdaftar memohon Pangsapuri Seri Suria di Kota Warisan. Dua penyewa menerima kunci
  • Kerajaan Selangor berbelanja RM7.356 juta untuk tampung kos sewa rumah 617 keluarga iaitu sumbangan RM2,000 kepada setiap keluarga sepanjang enam bulan, anggaran tempoh kerja pembaikan atau pembinaan semula rumah

Amirudin juga mengumumkan kesediaan Airbnb menaja 78 kediaman sementara bagi tempoh dua bulan kepada mangsa terjejas. Setakat 10 April, seramai 16 keluarga menerima tawaran itu. Pihak lain termasuk sektor swasta yang turut menghulur bantuan antaranya:

  • Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) buka kaunter tawaran rumah sewa sementara di Masjid Putra Heights antara 14 hingga 16 April bagi mudahkan mangsa peroleh maklumat
  • Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) sedia bina semula 81 rumah yang rosak sepenuhnya, merangkumi 48 unit di Taman Putra Harmoni dan 33 lagi di Kampung Kuala Sungai Baru
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 9 April sedia peruntukan RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk baiki prasarana awam
  • Pemaju Sime Darby Property Berhad tawar 66 unit iaitu 10 unit sewa, 25 unit jual di Serenia City selain 31 unit jual di Bandar Bukit Raja 2

Pada masa ini, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada kerja baik pulih kediaman dan menyelesaikan urusan sewa rumah mangsa terjejas. Setakat 12 April, 307 rumah disahkan boleh diduduki semula dan angkanya dijangka bertambah setelah kerja pembersihan selesai.

“Kita akan menumpukan kepada dua perkara iaitu sewaan dan baik pulih rumah. Kita hampir ke peringkat kemuncak atau hampir selesaikan sepenuhnya apabila urusan sewa rumah selesai termasuk pembahagian duit sewa,” kata Amirudin pada 12 April.

[caption id="attachment_695796" align="alignnone" width="815"] Penerima motosikal Yamaha Avantiz 125c ketika program penyerahan bantuan motosikal secara percuma kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di aras bawah LRT Putra Heights, Subang Jaya pada 8 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Bantuan kewangan

Pelbagai bentuk bantuan dihulur kepada mangsa termasuk bantuan kewangan, barangan keperluan asas, komputer riba untuk mahasiswa dan pelajar selain rebat bil air 100 peratus untuk Mac. Berikut antara inisiatif itu:

  • Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan rakan strategik serah RM2 juta ke Tabung Selangor Prihatin
  • Jumlah sumbangan terkumpul menerusi Tabung Selangor Prihatin sebanyak RM4.74juta setakat 16 April
  • Kerajaan Kelantan sumbang RM500,000 kepada mangsa yang disampaikan kepada Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin pada 13 April
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agih 620 telefon bimbit kepada setiap keluarga dan 265 unit komputer riba kepada sekolah dan 37 mahasiswa
  • Seramai 37 mahasiswa tenerima bantuan baucar buku bernilai RM200
  • Kementerian Digital sumbang 100 komputer riba, 100 tablet, 100 telefon pintar dan 500 bank kuasa
  • Majlis Agama Islam Selangor (Mais) agih RM57,876 merangkumi RM35,076 bantuan kotak makanan kering dan RM22,800 lagi untuk agihan Fidyah Wang Saku Pelajar babitkan 76 pelajar iaitu RM300 seorang
  • Mais juga salur bantuan bantuan kotak makanan bernilai RM200 mengandungi beras, gula, minyak masak, susu, biskut dan minuman coklat, diserahkan kepada 158 ketua keluarga

[caption id="attachment_696465" align="alignnone" width="947"] Pasukan Sokongan Akademik (AST) dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menjalankan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia pada 7 hingga 11 April 2025. Foto Facebook Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor[/caption]

Bantuan Pendidikan

Aspek pembelajaran tidak dilupakan sepanjang penyaluran bantuan kepada keluarga mangsa kejadian letupan bagi memastikan pelajar tidak keciciran pendidikan akibat bencana tersebut, antaranya:

  • Jabatan Pendidikan Negeri Selangor adakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kedua-dua PPS pada 2 hingga 4 April serta 7 hingga 11 April. Dikendalikan 21 petugas Pasukan Sokongan Akademik (AST), program itu tumpu untuk bimbing dan pulihkan semangat pelajar
  • Sudut mainan Pustaka Permainan diadakan khusus bagi menceriakan kanak-kanak PPS Masjid Putra Heights

Pengalaman sukarelawan

Sukarelawan, dari mahasiswa hingga orang awam, bertungkus lumus menjalankan kerja pembersihan demi membantu mangsa dan petugas barisan hadapan. Mereka mengerah kudrat demi meringan beban mangsa dengan membersihkan kawasan terjejas.

Sebahagian mereka antara saksi yang melihat sendiri kesan letupan yang menjulang lebih 30 meter pada suhu mencecah 1,000 darjah celcius sekali gus meranapkan banyak rumah dan pelbagai harta benda.

Sukarelawan Mohd Faizul Matjisil yang menyifatkan kejadian itu umpama gempa bumi mengakui terkejut pertama kali melihat kesan letupan terhadap rumah berdekatan laluan paip berkenaan.

“Tengok struktur sahaja terkejut. Tinggal rangka rumah, namun ada struktur dinding masih kukuh. Masuk ke dalam, lagi terkejut. Barangan elektrik semua cair, tiada yang selamat.

“Sedih masa keluarkan barangan. Lihat muka pemilik pun sedih. Kalau pemilik ingin duduk, perlu bina semula rumah, kena beli perabot dan alatan lain,” katanya yang bekerja sebagai pemandu.

[caption id="attachment_696543" align="alignleft" width="347"] Asyraf Raman[/caption]

Ahli perniagaan Asyraf Raman, 41, pula mengambil inisiatif membeli dan mengupah kontraktor luar bagi memasang atap baharu di kediaman jiran yang rosak bagi mengelak kerugian.

“Apabila dibenarkan masuk ke kediaman oleh polis, saya melihat atap rumah rosak sekali gus sebabkan banyak barang tidak boleh digunakan.

“Saya ambil inisiatif untuk beli atap untuk tutup kebocoran dan bantu lakukannya di beberapa rumah jiran yang tidak rosak sepenuhnya dengan mengupah kontraktor luar,” katanya.

Pertama kali terlibat dalam kerja pembersihan di kawasan musibah, mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Aina Shahirah Roslee, 20, yang kerap membuat kerja sukarela di rumah anak yatim mengakui pengalaman kali ini berbeza.

[caption id="attachment_696541" align="alignright" width="345"] Aina Shahirah Roslee[/caption]

“Memang pengalaman berbeza sepenuhnya kerana perlu lakukan kerja dalam keadaan panas. Bagaimanapun, saya melihat secara positif dan berharap kerja dilakukannya dapat membawa keceriaan sekali gus meringankan beban mangsa letupan,” katanya.

Menurut ketua pasukan sukarelawan Masjid Putra Heights, keperluan makanan untuk petugas barisan hadapan termasuk pasukan penyelamat, sukarelawan dan petugas media disediakan seawal jam 5 pagi.

Beroperasi sehingga 10 malam setiap hari, bahan makanan bergantung kepada bahan mentah sumbangan NGO atau ihsan orang ramai, kata Abdul Aziz Abdullah.

“Menu yang sering mendapat permintaan ialah nasi lemak dan teh tarik. Namun, jika tiada bahan untuk nasi lemak, kami sediakan menu lain seperti bihun goreng, roti telur atau roti john,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.