Oleh AIDA NYAN
SHAH ALAM, 18 APRIL: Permohonan Insentif Haji Muassasah berjumlah RM1,000 akan dibuka Selasa ini.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata perkara itu dijangka diumum Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari hari ini.
"Permohonan dibuka kepada 6,000 jemaah seluruh Selangor.
"Makluman berkenaan permohonan ini sudah diberitahu kepada pusat khidmat DUN semalam," katanya ketika ditemui di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.
Ahmad Azri berkata, antara syaratnya adalah pemohon mestilah pengundi berdaftar di Selangor dan menunaikan haji secara muassasah.
Justeru, beliau menyeru bakal jemaah haji 1446H hadir ke pusat khidmat DUN masing-masing untuk memohon.
"Bakal haji yang sudah mendapat tawaran boleh hadir ke pejabat DUN masing-masing untuk memohon," katanya.
Insentif Haji Muassasah diselaras MBI sebagai tanda kepedulian dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat negeri ini yang bakal menunaikan haji.