ad
AGENDA

Sin Chew Daily: Polis panggil beberapa lagi individu bantu siasatan

18 Apr 2025, 5:56 AM
Sin Chew Daily: Polis panggil beberapa lagi individu bantu siasatan
Sin Chew Daily: Polis panggil beberapa lagi individu bantu siasatan

GOMBAK, 18 APRIL: Polis akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan berhubung isu itu masih berjalan, dengan 42 saksi dipanggil serta 40 laporan polis diterima setakat ini.

“Siasatan masih berjalan. Sudah ada 40 laporan polis dibuat. Kita sudah panggil seramai 42 saksi. Itu adalah perkembangan terkini dan kita akan panggil lagi,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Balai Polis Bandar Country Homes, Rawang yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini, hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

[caption id="attachment_697325" align="alignnone" width="970"] Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menandatangani plak Perasmian Balai Polis Country Homes, Rawang pada 18 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan ketua editor dan timbalan ketua penyunting akhbar itu ditahan untuk siasatan lanjut berhubung isu berkenaan.

Media melaporkan kedua-dua mereka dibebaskan jam 8.20 malam semalam.

Menurut Razarudin kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kiritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.