GOMBAK, 18 APRIL: Laporan awal siasatan teknikal berhubung insiden kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights pada 1 April, dijangka diperolehi dalam tempoh seminggu lagi.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kerja pengorekan tanah di lokasi kejadian setakat ini berjaya menemukan paip gas yang meletup dalam insiden berkenaan.
Beliau menjelaskan kajian forensik oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang dijalankan.
[caption id="attachment_696054" align="aligncenter" width="816"] Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media kebakaran saluran paip gas di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights, Subang Jaya pada 10 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Hampir selesai (kerja korek tanah). Kita sudah jumpa paip yang meletup itu. Tunggu laporan awal dalam seminggu lagi. Siasatan polis masih berjalan daripada segi kecuaian atau khianat,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Balai Polis Bandar Country Homes, Rawang, yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini, hari ini.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam kejadian awal bulan ini, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30m dan mengambil hampir lapan jam untuk dipadamkan.
Kebakaran itu turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8m dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.