SHAH ALAM, 18 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor mencemar duli bertemu komuniti Orang Asli pada hari kedua Gagasan Rumpun Selangor (GRS) di Gombak, semalam.
Keberangkatan Tengku Amir Shah diiringi EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail ke Muzium Orang Asli disambut lebih 100 penduduk Orang Asli yang mempersembahkan Tarian Sewang.
Baginda turut berkenan menunjukkan bakat menyumpit selain meninjau reruai permainan tradisional, makanan tradisi dan hasil kraftangan daripada lapan perkampungan komuniti itu.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Selangor dan Wilayah Persekutuan berkata keberangkatan Tengku Amir Shah mengimbau kenangan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersama komuniti Orang Asli pada 2000.
[caption id="attachment_697282" align="alignnone" width="1003"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat muzium dalam program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat Gombak 2025 di Muzium Orang Asli, Gombak pada 17 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurut Mohammad Anis Othman, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan merasmikan Muzium Orang Asli ketika di atas takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Keberangkatan Baginda hari ini ada signifikannya kerana ia dirasmikan oleh nendanya. Selain melawat muzium, Baginda juga meluangkan masa bersama penduduk Orang Asli dari lapan kampung.
“Kehadiran Raja Muda Selangor mengimbas kembali memori ketika Almarhum Sultan Selangor merasmikan muzium ini. Ia seolah-olah menggamit kenangan lalu,” katanya kepada Media Selangor.
Muzium Orang Asli terletak di Jalan Gombak Lama mempamerkan sejarah dan tradisi masyarakat peribumi Orang Asli selain memiliki pelbagai artifak seperti peralatan berburu dan alat muzik tradisional.
[caption id="attachment_697284" align="alignnone" width="887"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyumpit dalam program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat Gombak 2025 di Muzium Orang Asli, Gombak pada 17 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu, Tengku Amir Shah memulakan program hari kedua GRS dengan santapan pagi dan menyantuni penduduk di Nostalgia Kopitiam, Taman Melawati dan melawat Empangan Klang Gate serta Zoo Negara.
Pada hari terakhir GRS hari ini, Baginda dijadual berangkat menyempurnakan perasmian Balai Polis Bandar Country Homes dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Cahaya Iman.
GRS diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.
Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.
GRS telah menjelajah ke semua daerah bermula Februari tahun lalu dimulakan dengan Hulu Selangor dan berakhir di Gombak.