ad
AGENDA

Polis tahan dua pengarang kanan Sin Chew Daily untuk bantu siasatan

17 Apr 2025, 12:45 PM
Polis tahan dua pengarang kanan Sin Chew Daily untuk bantu siasatan

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily hari ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kita tahan untuk siasatan dan bawa dua individu terbabit ke pejabat bagi mendapatkan komputer serta barang berkaitan kes bagi siasatan selanjutnya.

“Kedua-dua individu akan dibebaskan dengan jaminan polis malam ini,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pihak polis merakam keterangan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.

Ketua Editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala Timbalan Ketua Penyunting terbabit pula adalah pereka grafik gambar berkenaan.

Razarudin berkata setakat ini, pihaknya menerima 40 laporan berhubung isu itu di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selasa lepas, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kiritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.