SHAH ALAM, 17 APRIL: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan hingga RM2.5 juta untuk pelbagai bantuan kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata perbelanjaan tersebut antaranya RM10,000 untuk keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) dan wang tunai RM500 kepada setiap 265 pelajar sekolah.
“Dana RM2 juta hasil sumbangan anak syarikat dan rakan strategik MBI juga disalurkan kepada Tabung Selangor Prihatin di Majlis Gemilang Aidilfitri MBI, baru-baru ini.
“Selain itu, seramai 37 mahasiswa terjejas menerima baucar buku Kita Selangor bernilai RM200. Mereka juga mendapat sumbangan komputer riba dari Kementerian Komunikasi,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_697175" align="aligncenter" width="686"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan komputer riba di Pejabat Penyelaras DUN Bukit Melawati pada 22 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Pada masa sama, Azri memberitahu semua sumbangan itu sebagai tanda solidariti Yayasan MBI kepada mangsa yang terkesan untuk bangkit semula membina kehidupan.
“Yayasan MBI bersimpati terhadap dugaan yang dipikul oleh mereka berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
“Namun, Kerajaan Negeri dan seluruh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor komited untuk membantu bukan sahaja dari sudut wang ringgit malah memulihkan rumah yang musnah serta emosi mereka,” tambahnya lagi.
Kebakaran saluran gas kira-kira 8.10 pagi, 2 Syawal lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.