ad
AGENSI

PTPTN dicadang kaji mekanisme kutipan bayar balik, nilai tahap kewangan peminjam

17 Apr 2025, 4:00 AM
PTPTN dicadang kaji mekanisme kutipan bayar balik, nilai tahap kewangan peminjam
PTPTN dicadang kaji mekanisme kutipan bayar balik, nilai tahap kewangan peminjam

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu mengkaji semula mekanisme kutipan lebih fleksibel dengan tidak membebankan selain bersifat adil kepada peminjam.

Profesor Kehormat (Ekonomi) Institut Asia-Eropah Universiti Malaya Prof Datuk Rajah Rasiah berkata PTPTN perlu menilai tahap kewangan peminjam sekali gus memastikan semua ruang diberikan kepada mereka untuk melunaskan hutang.

“Beban kewangan mungkin berpunca daripada peningkatan kos sara hidup, pengganguran dan kadar gaji rendah hingga menyebabkan kesukaran untuk mereka membuat pembayaran balik.

“Jika peminjam mempunyai kekangan aliran tunai atau simpanan, mereka perlu dibantu PTPTN dengan mewujudkan fleksibiliti pembayaran balik,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas mengenai peminjam culas, Rajah berpandangan pelaksanaan semula larangan ke luar negara perlu dipertimbang PTPTN terutama mereka yang mempunyai keadaan kewangan kukuh namun masih enggan membuat bayaran balik.

“Pendekatan larangan ini boleh dibuat sama seperti penguatkuasaan terhadap individu yang telah berstatus bankrap.

“Saya melihat antara punca keculasan kurang rasa tanggungjawab walaupun mereka berkemampuan,” ujarnya.

Sebelum ini, perdana menteri memaklumkan kerajaan sedang menimbang untuk mengkaji semula kadar bayaran pinjaman dan terma pembayaran balik PTPTN bagi membantu peminjam dengan lebih baik, di samping menangani isu hutang tertunggak yang tinggi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata langkah itu dibuat berikutan hutang tertunggak PTPTN hampir mencecah RM40 bilion setakat ini.

[caption id="attachment_697112" align="aligncenter" width="972"] Foto Facebook Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.