Oleh RAFIQAH RAUF
SHAH ALAM, 17 APRIL: Memperkukuh semula kekuatan parti khususnya di peringkat akar umbi menjadi keutamaan Najwan Halimi selepas dipilih sebagai ketua cabang Shah Alam yang baharu.
Menurutnya, kemenangan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bukan sekadar simbol kejayaan peribadi, tetapi permulaan gerak kerja penyatuan anggota untuk memperkasa jentera.
"Ini masanya untuk semua anggota merapatkan saf selepas pemilihan. Tumpuan kita kebajikan anggota, memperkemas pergerakan peringkat akar umbi dan mempergiat program kemasyarakatan," katanya.
Bercakap kepada Media Selangor dalam konteks pascapemilihan, Najwan yang juga EXCO belia turut menyeru semua pihak mengetepikan perbezaan dan kembali kepada semangat perjuangan bersama.
[caption id="attachment_530279" align="aligncenter" width="756"] Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
"Kita tidak ambil pendekatan menang jadi arang, kalah jadi abu. Semua orang akan ada ruang dan peranan masing-masing untuk terus menyumbang dalam cabang Shah Alam," katanya.
Wakil rakyat Kota Anggerik itu menambah kemenangannya turut dilihat sebagai cerminan kepada aspirasi anggota KEADILAN yang mahukan kepimpinan muda, dinamik serta lebih efektif.
Beliau berpendapat isyarat itu bukan hanya berlaku di Shah Alam, tetapi turut dilihat di cabang lain yang menolak kepimpinan lapuk dan inginkan sesuatu yang baharu.
Dalam pada itu, Najwan turut memuji pendekatan pengundian dalam talian yang digunakan pemilihan kali ini dengan menyifatkannya sebagai satu langkah moden dan efisien oleh parti.
“Sistem ini sangat baik, selamat dengan teknologi pengesahan wajah, dan tiada isu penipuan. Bukan sahaja menjimatkan masa, malah memudahkan anggota mengambil bahagian dalam proses demokrasi,” jelasnya.
Pada 13 April, keputusan Pemilihan KEADILAN 2025 bagi Cabang Shah Alam menyaksikan Najwan meraih 1,213 undi mengatasi penyandangnya, Rodziah Ismail yang juga Ahli Parlimen Ampang dengan 899 undi.
Keputusan itu ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang mengesahkan ia benar dan tepat.