Oleh Yasmin Ramlan
SHAH ALAM, 17 APRIL: Kekurangan literasi pengurusan kewangan dalam kalangan pekerja muda menjadi punca kegagalan membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pensyarah Kanan Shariah Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Chong Kok Fei berkata antara faktor utama menyumbang kepada masalah ini adalah perancangan kewangan yang lemah menyebabkan mereka mudah terperangkap dalam masalah hutang.
“Kesilapan yang sering berlaku di kalangan mereka tidak merancang untuk menyimpan dari gaji diterima hingga membelanjakan wang tanpa had.
“Ramai orang muda tidak mempunyai matlamat kewangan, seperti sasaran untuk bebas hutang mengikut tempoh tahun tertentu.
“Tanpa objektif yang jelas, lebih sukar untuk mengutamakan pembayaran balik pinjaman berbanding perbelanjaan yang tidak perlu,” katanya kepada Media Selangor.
Pada masa sama, Chong mencadangkan kepada peminjam yang berkemampuan lebih untuk membuat bayaran balik PTPTN melebihi tahap komitmen minimum secara bulanan sebagai langkah menyelesaikan tunggakan dengan segera.
[caption id="attachment_697108" align="aligncenter" width="767"] Foto Facebook Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)[/caption]
“Untuk peminjam tidak mampu untuk membayar balik penting untuk mendapatkan nasihat daripada PTPTN atau penasihat kewangan untuk penstrukturan semula bayaran.
“Kebebasan kewangan adalah nikmat hidup tidak ternilai dan untuk mencapainya mereka perlu ada dorongan serta usaha membuat pembayaran sejak dari awal,” katanya.
Terdahulu, perdana menteri memaklumkan kerajaan sedang menimbang untuk mengkaji semula kadar bayaran pinjaman dan terma pembayaran balik PTPTN bagi membantu peminjam dengan lebih baik, di samping menangani isu hutang tertunggak yang tinggi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata langkah itu dibuat berikutan hutang tertunggak PTPTN hampir mencecah RM40 bilion setakat ini.
[caption id="attachment_697109" align="aligncenter" width="818"] Foto Facebook Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)[/caption]