ad
AGENDA

China bawa kestabilan dalam perdagangan global, kekal rakan penting Malaysia

16 Apr 2025, 2:22 PM
China bawa kestabilan dalam perdagangan global, kekal rakan penting Malaysia

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan China kekal sebagai rakan dagang paling penting Malaysia lebih-lebih lagi dalam keadaan kekalutan sistem perdagangan global ketika ini susulan pelaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata inisiatif global China memberikan harapan kerana ia berlandaskan pendekatan minda terbuka dan bukan mementingkan diri sendiri dan tidak berkisar tentang persaingan tetapi pembaharuan semula ketika dunia berada dalam keadaan tertekan disebabkan oleh pelaksanaan tarif oleh AS.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sesetengah negara telah meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab dan yang lain-lain mempersoalkan komitmen yang telah lama wujud.

"Dalam tempoh yang sukar ini, dunia mengharapkan keadaan yang stabil, kebolehpercayaan dan tujuan (dan) kita melihat ini dalam pendekatan China.

“Malaysia menyedari pentingnya kekukuhan dan harapan yang dibawa ini dan berharap ia akan berterusan,” kata beliau menerusi ucapannya semasa majlis jamuan makan malam yang diadakan di Seri Perdana, di sini, sempena lawatan Presiden China Xi Jinping.

Beliau berkata kehadiran China di negara ini mencakupi pelbagai pembangunan daripada aliran barangan dan idea kepada transformasi tenaga, infrastruktur dan inovasi, namun kekuatan sebenar hubungan ini bukan sekadar hanya pada angka perdagangan atau statistik pelancong.

"Ia terletak pada pemahaman mendalam - untuk mempertahankan kemakmuran, ia perlu dikongsi; dan kepercayaan itu, yang telah dipupuk perlu dijaga dengan baik dengan sabar dan komited," kata Anwar.

Perdana Menteri juga berkata di bawah kepimpinan Xi, China telah menggariskan satu siri inisiatif global yang mencerminkan pandangan dunia yang tersendiri.

"Inisiatif Jalur dan Laluan menunjukkan bahawa ketersambungan bukan sebagai rangkaian jalan raya dan rel, tetapi sebagai rangka kerja untuk kerjasama," katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.