OLEH CHUAH CHEE HWAI
PUCHONG, 16 APRIL: Jumlah kutipan Tabung Selangor Prihatin bagi membantu mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights dijangka melepasi angka RM5 juta, kata EXCO Pelaburan Ng Sze Han.
Menurutnya, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan jumlah kutipan semasa adalah RM4.74 juta dan usaha mengumpul dana masih diteruskan.
“Semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Invest Selangor semalam (15 April), sebanyak RM1 juta berjaya dikumpulkan. Saya yakin tabung ini bakal melepasi RM5 juta,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau sebelum itu menerima replika cek bernilai RM40,000 sumbangan Haier Electrical Appliances (Malaysia) Sdn Bhd di Dewan Komuniti Kampung Kuala Sungai Baru.
Dana itu akan disalurkan kepada pusat perkhidmatan untuk diagihkan kepada mangsa.
Tambah Sze Han, masih banyak perkara perlu diselesaikan bagi membantu mangsa secara menyeluruh.
Oleh itu, Kerajaan Negeri sedang meneliti kaedah terbaik untuk menyalurkan bantuan menggunakan dana tabung tersebut.
Selain itu, mengulas berkenaan rungutan mangsa yang berasa tersisih kerana tidak menerima bantuan, beliau mengakui Kerajaan Negeri ada menerima aduan daripada beberapa penduduk berhubung agihan bantuan yang didakwa tidak seimbang, sehingga menyebabkan ada yang tercicir.
“Sehubungan itu, saya telah meminta wakil rakyat dan ketua kampung untuk mengemukakan semula senarai nama penduduk yang terjejas kepada pihak berkenaan, khususnya Pejabat Tanah, bagi menyemak semula senarai tersebut dan memastikan semua yang terkesan menerima bantuan secara adil,” katanya.
Sebelum ini Kerajaan Negeri mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak sama ada swasta, korporat mahupun individu kepada mangsa kebakaran di Putra Heights menerusi Tabung Selangor Prihatin.
Tabung berkenaan merupakan inisiatif tambahan selain usaha berterusan membantu meringankan beban mangsa dan boleh dibuat menerusi nombor akaun CIMB 8604747531(Bendahari Negeri Selangor), dengan rujukan Putra Heights.
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.