SHAH ALAM, 16 APRIL: Pintu kunci air akan dibina di beberapa lokasi yang sering terkesan ketika hujan lebat sebagai langkah segera mengatasi masalah banjir.
EXCO infrastruktur berkata antara lokasi dikenal pasti ialah Kampung Baru Hicom dan Padang Jawa di Shah Alam serta Kampung Tengah dan Kampung Seri Aman di Puchong.
Menurut Dato’ Ir Izham Hashim, pihaknya sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk meneliti beberapa lagi kawasan lain sekali gus mengelakkan banjir berulang.
“Kita dapati pihak berkuasa tempatan tak ada pintu kunci air. Hanya JPS yang ada. Jadi kerja mengepam air jadi sia-sia.
“Jadi langkah segera kita bina pintu kunci air. Kita akan mohon peruntukan negeri supaya kerja ini dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya kepada Media Selangor hari ini.
Izham berkata ketika ini lebih 90 projek tebaran banjir membabitkan hampir RM4 bilion sedang dijalankan dan memerlukan masa beberapa tahun bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.
Beliau menjelaskan tempoh masa diperlukan seawal proses pembinaan seperti reka bentuk selain beberapa aspek lain namun memberi jaminan masalah tidak lagi berlaku sekiranya projek siap.
“Seperti di Taman Mutiara, Klang. Kita dah tak terima aduan. Kolam hampir siap dan sudah berfungsi. Makanya kita memerlukan masa. Ada yang siap dua, tiga tahun lagi dan ada juga projek baharu bermula.
“Bagaimanapun kita akan sentiasa memantau kerja dilakukan pihak kontraktor dan mengambil tindakan sesuai termasuk menamatkan kontrak,” katanya.
Hujan lebat berterusan pada awal pagi Jumaat minggu lalu menyebabkan lebih 1,000 penduduk sekitar Petaling dan Klang terjejas banjir dengan lebih 200 keluarga dilapor berpindah ke enam pusat pemindahan sementara.
Antara lokasi dinaiki air ialah Taman Sri Muda, Padang Jawa dan Meru, Klang.