ad
AGENDA

Prihatin mangsa Putra Heights, Haier sumbang RM40,000 untuk rawatan

16 Apr 2025, 10:00 AM
Prihatin mangsa Putra Heights, Haier sumbang RM40,000 untuk rawatan

PETALING JAYA, 16 APRIL: Syarikat perkakasan rumah dan elektronik Haier Electrical Appliances Sdn Bhd (Haier) menghulurkan sumbangan berjumlah RM40,000 bagi membantu membayar kos perubatan hospital mangsa insiden kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya 1 April lepas.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada mangsa yang benar-benar memerlukan bantuan dengan keutamaan kepada mereka yang masih menerima rawatan di hospital.

"Kita percaya kos perubatan juga membebankan kebanyakan mangsa dan saya mewakili kerajaan negeri sudah berbincang dengan pihak Haier dan mereka bersetuju sumbangan itu digunakan untuk membayar kos perubatan mangsa.

"Agihan berkenaan akan dikelola Ahli Majlis Zon 16 Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Lee Jen Uyin yang sedang merangka program ziarah setiap mangsa yang layak menerima bantuan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan berkenaan bagi pihak kerajaan negeri yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Haier Malaysia Fan Jing pada satu majlis di Dewan Masyarakat Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Sementara itu Fan Jing berkata pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan negeri dan MBSJ untuk menguruskan agihan sumbangan kepada mangsa yang memerlukan.

"Saya pasti kerajaan negeri dan juga MBSJ mempunyai data lengkap setiap mangsa yang terlibat, jadi Haier menyerahkan kepada mereka untuk membuat keputusan berhubung agihan bantuan mengikut keperluan," katanya.

Pada 1 April lepas negara digemparkan dengan kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights yang mengakibatkan api menjulang setinggi 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius sehingga menjejaskan 219 buah rumah di kawasan sekitar.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.