OLEH DANIAL DZULKIFLY
SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri mempercepatkan proses kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan syarikat menyimpan diesel di premis masing-masing susulan gangguan bekalan gas selepas letupan paip di Putra Heights pada 1 April lalu.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata langkah ini antara beberapa tindakan segera bagi menyokong syarikat, khususnya yang bergantung kepada sistem penyimpanan sejuk, bagi mengekalkan bekalan bahan mentah dan memastikan operasi tidak tergendala.
“Kami juga sentiasa berkomunikasi dengan PetGas (Petronas Gas Berhad) dan pihak berkepentingan lain bagi mempercepat pemulihan sepenuhnya bekalan gas,” katanya kepada Media Selangor ketika menghadiri Jaringan Perniagaan Aidilfitri 2025 anjuran Invest Selangor di Pusat Konvensyen MBSA semalam.
Sze Han, yang mempengerusikan sesi libat urus pada 9 April lalu, berkata pertemuan itu menghimpunkan wakil pentadbiran negeri, Suruhanjaya Tenaga, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), PetGas, pengendali paip Gas Malaysia Berhad, serta pemain industri yang terkesan.
Beliau turut memaklumkan perbincangan dengan penggiat industri dan ahli FMM yang terjejas sedang giat dijalankan bagi merangka penyelesaian terbaik.
Letupan yang berlaku pada 1 April itu telah menjejaskan sektor Segamat–Kapar dalam rangkaian Paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), iaitu laluan penting penghantaran gas ke zon industri utama di Selangor.
Susulan kejadian, beberapa pengilang terpaksa mengurangkan pengeluaran atau beralih kepada bahan api alternatif yang lebih mahal seperti diesel dan minyak bahan api.
Dalam laporan The Edge yang diterbitkan Isnin lalu, Sze Han mengakui bahawa kesan ekonomi akibat kejadian ini masih dalam penilaian, namun terdapat sektor yang sudah pun mula menanggung kerugian.
Walaupun keutamaan Kerajaan Negeri adalah kebajikan penduduk yang terjejas, beliau berkata usaha juga sedang digiatkan untuk memastikan pemulihan ekosistem perindustrian dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Sektor seperti pembuatan besi, sarung tangan getah, makanan dan minuman serta farmaseutikal antara yang paling bergantung kepada gas asli cecair (LNG).
Meskipun ada operasi yang boleh beralih buat sementara kepada bahan api alternatif (contohnya untuk sistem dandang), sebahagian industri — terutama yang menggunakan gas secara langsung bagi proses penting seperti mencair dan memanaskan tidak mempunyai pengganti segera.
Buat masa ini, Suruhanjaya Tenaga memberi keutamaan kepada bekalan gas untuk perkhidmatan kritikal termasuk penjanaan tenaga, hospital, pemprosesan makanan dan industri farmaseutikal.
Bagaimanapun, penggiat industri masih berdepan dengan tekanan gas rendah dan gangguan operasi separa.