ad
AGENDA

Jalur Gemilang lambang kedaulatan, kesilapan gambar tanpa bulan sabit tidak boleh diterima

16 Apr 2025, 9:39 AM
Jalur Gemilang lambang kedaulatan, kesilapan gambar tanpa bulan sabit tidak boleh diterima

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak.

Sultan Ibrahim menegaskan bendera adalah lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara.

“Bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,” titah Seri Paduka Baginda.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap dan tindakan itu mendapat reaksi pelbagai pihak.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.