Oleh AMIRUDIN SHARI
Negara kita sudah melangkah masuk, sekurang-kurangnya sebelah kaki, ke dalam dunia kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI). Justeru ini merupakan waktu sangat genting untuk kita merangka kebijakan bagi meraih manfaat dan mengatasi cabaran AI.
Beberapa tokoh akademik terkemuka seperti Daron Acemoglu telah menyatakan kegusaran mereka terhadap cara penggunaan teknologi AI tanpa kawalan kerajaan yang telah menimbulkan pelbagai kesan buruk terhadap kehidupan masyarakat, ekonomi, dan politik. Kegusaran ini turut dikongsi oleh Shoshana Zuboff yang memperingatkan kita tentang ancaman behaviour surplus dan behaviour modification yang mempengaruhi atau menentukan tingkah laku dan keputusan hidup masyarakat tanpa mereka sedari.
Kita wajar mengambil iktibar daripada pengalaman beberapa buah negara, termasuk negara kita sendiri, sejak beberapa tahun kebelakangan. Penerimaan media sosial tanpa menyediakan garis panduan etika dan kerangka kebijakan bagi mempertahankan kedaulatan negara dan melindungi rakyat daripada dipengaruhi pelbagai algoritma tanpa disedari berkemungkinan merosakkan rupa sesebuah bangsa dan negara.
Inilah kesan yang berlaku sewaktu kemenangan kali pertama Trump atau Referendum Brexit di UK. Ini terjadi kerana tiada sesiapa pun yang sedar tentang ancaman behaviour surplus yang memberi dampak langsung terhadap tingkah laku dan keputusan kita. Seterusnya segala data tentang tingkah laku kita disalurkan pula kepada syarikat perniagaan dan pengeluar barangan. Akhirnya, rakyat atau orang awam dijadikan sebagai alat untuk melindungi kepentingan dan mengaut keuntungan semata-mata. Mereka terkongkong tanpa sedar dalam sistem kawalan yang dicipta oleh pihak yang memiliki super machine seperti media sosial dan teknologi AI yang kelak memberi kesan kepada apa yang disebut sebagai kejituan dan ketulenan sesuatu perkara atau keputusan.
Cuba bayangkan hatta dalam penulisan tesis dan kerja kursus yang menjadi asas dalam pembentukan nilai pengetahuan dan ilmu dalam sistem pendidikan sekalipun sedang menghadapi cabaran ini. Seluruh sistem nilai ini akan hancur jika tiada kawalan atau usaha untuk mengawalnya. Namun ini bukan pula bererti kerajaan perlu mengharamkan media sosial atau teknologi AI. Tetapi perlu ada garis panduan etika yang digarap dengan kesedaran tentang segala ancaman tersebut.
Terkini kita lihat betapa kecanggihan ChatGPt atau open access AI berupaya meniru suara manusia. Ini pastinya akan memberi kesan terhadap sistem nilai dan keselamatan peribadi dan masyarakat seluruhnya. Di saat kita memperjuangkan apa yang disebut fakku raqabah atau pembebasan perhambaan, saya ingin menarik perhatian pembaca tentang kewujudan kongkongan atau sistem awan (cloud system) besar yang berupaya mengawal fikiran dan tingkah laku kita. Justeru sekiranya tiada kawalan kerajaan atau usaha memahami teknologi AI yang boleh memberikan manfaat dan mempermudahkan kehidupan kita tetapi jikalau tidak dikawal dengan baik maka akan menjadi kongkongan terhadap masyarakat dan seluruh rakyat negara ini.
Ini penting terutama sekali dalam sistem pendidikan kita. Dalam memperkenalkan teknologi AI dalam bidang pendidikan, kita tidak boleh bermula dengan mesin, kita tidak boleh bermula dengan peralatan atau perkakasan. Tetapi kita perlu bermula dengan merangka kebijakan bagi membolehkan sistem pendidikan menerima atau mengurus teknologi AI demi manfaat anak-anak kita.
Sejak lebih sedekad lalu kita menghadapi masalah pencapaian sains dan matematik yang kurang memuaskan. Ini kerana generasi hari ini, terutama gen-Z, telah hanyut dibuai budaya konsumerisme yang telah melenyapkan pengetahuan asas dan daya kreativiti untuk mencipta peralatan teknologi dan perisian yang mereka gunakan. Inilah juga cabaran kita dalam teknologi AI kelak. Justeru kita harus mengorak langkah untuk melahirkan generasi muda yang bersiap sedia memanfaatkan dan mengembangkan teknologi AI. Kita perlu memahami asas teknologi AI dan kita perlu memahami kebaikan serta keburukan teknologi AI kepada kehidupan seluruh rakyat di negara kita.
Demi tujuan itu kita perlu merangka kebijakan bagi mempersiapkan generasi muda kita untuk menangani pelbagai cabaran AI. Sekiranya mereka terus terkongkong tanpa sedar dalam behaviour surplus dan behaviour modification dan terpengaruh dengan gaya hidup serba palsu dan cetek maka saya bimbang negara kita bakal diwarisi oleh generasi yang lemah, cepat merengek, dan lekas mengalah. Ini pasti akan menggugat kedaulatan negara dan kehidupan kita pada masa depan.
Sebagai mengorak langkah pertama dalam usaha merangka kebijakan menangani teknologi AI, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntuk dana sejumlah RM5 juta dalam Belanjawan Negeri 2025 bagi tujuan merangka Kertas Putih AI dan Pembangunan Pusat Inkubator AI Selangor.
Kertas Putih AI yang bakal dibentangkan tidak lama lagi akan menumpukan perhatian kepada lapan perkara penting termasuk AI sebagai pelengkap kemahiran pekerja, keselamatan data pengguna, kesihatan mental, dan peningkatan perkhidmatan kerajaan. Sementara pada 24 Mac 2025 lalu Kerajaan Negeri, dengan kerjasama Google Cloud, telah melancarkan inisiatif Teraju AI Selangor yang bertujuan membantu agensi kerajaan membina dan melaksanakan penyelesaian AI bagi meningkatkan operasi perkhidmatan kerajaan demi manfaat seluruh rakyat di negeri ini.
YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dilantik Menteri Besar Selangor sejak 2018