ad
ADN

Insiden Putra Heights dijangka dibahas dalam sidang DNS Julai ini

16 Apr 2025, 7:50 AM
Insiden Putra Heights dijangka dibahas dalam sidang DNS Julai ini

SHAH ALAM, 16 APRIL: Insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights dan aspek keselamatan zon penampan merupakan antara perkara yang dijangka dibahaskan pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), Julai ini.

Speaker Lau Weng San berkata pihaknya menjangkakan banyak soalan berkaitan jarak selamat bagi pembangunan infrastruktur di kawasan berisiko yang memerlukan penjelasan terperinci dan teknikal oleh EXCO bertanggungjawab terhadap Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

“Kerajaan tidak akan membuat rumusan awal berhubung insiden itu kerana ia masih dalam siasatan yang kita yakin, pihak eksekutif akan menyelesaikan segera urusan berkenaan.

“Dalam masa yang sama, pihak legislatif akan membincangkan isu berkenaan di dalam sidang DUN Julai nanti,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini semalam.

Weng San berkata Kerajaan Negeri akan menggunakan peluang berkenaan untuk mewujudkan polisi baharu bagi mengelakkan kejadian kebakaran serupa berulang pada masa akan datang.

“Saya harap akan ada perbahasan yang baik daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) khususnya berhubung langkah menetapkan laluan serta kawasan penampan lebih selamat dalam konteks infrastruktur industri,” katanya.

Pada 1 April lepas, negara digemparkan dengan kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights yang mengakibatkan api menjulang setinggi 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius sehingga menjejaskan 219 rumah di kawasan sekitar.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.