SEPANG, 16 APRIL: Mangsa kebakaran gas di Putra Heights yang memohon kediaman menerusi Skim Smart Sewa mula menduduki kediaman sewaan hari ini tanpa perlu membayar deposit.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata penyerahan kunci kepada dua penyewa di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, di sini dibuat hari ini bagi membolehkan mereka mendiami rumah berkenaan dalam kadar segera.
“Seperti dijanjikan Isnin lalu, Rabu mereka akan dapat rumah. Rumah ini kita tawarkan dengan harga RM850 termasuk caj perkhidmatan. Harga pasaran sebenarnya RM1,200.
“Bantuan sewaan RM2,000 selama enam bulan dari Kerajaan Negeri. Jadi kalau mereka menyewa di sini dengan kadar RM850 ada lebihan itu mungkin boleh menampung perbelanjaan lain.
Menurut Borhan, setakat ini, 75 mangsa berdaftar untuk memohon rumah di sini, kita jangka mungkin setengah daripadanya akan menetap di situ.
"Kita akan ‘reserved’ rumah ini selama enam bulan, sekiranya mangsa berminat boleh buat permohonan,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan itu.
[caption id="attachment_696957" align="aligncenter" width="1132"] Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang Selangor antara kediaman ditawarkan Kerajaan Negeri kepada mangsa insiden letupan gas Putra Heights pada 16 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menjawab dakwaan sesetengah pihak berhubung tawaran rumah yang jauh dari lokasi kejadian, menurut Borhan, Kerajaan Negeri menawarkan Skim Smart Sewa di kawasan itu berdasarkan kekosongan yang ada ketika ini.
“Sebenarnya kita melihat di mana ada kekosongan, di Selangor ada beberapa tempat tetapi yang lain telah dipenuhi dengan penyewa dan yang betul-betul kosong di sini.
“Jadi dari sini ke Putra Heights lebih kurang 30 kilometer. Kita lihat juga ada mangsa yang dulu berulang, tapi mungkin di sini lebih dekat. Jadi kita beri kelebihan kepada mereka untuk memilih dan terpulang kepada mangsa mana yang lebih selesa.
“Yang kita tawarkan ini bukan rumah yang telah diguna atau diduduki, ini rumah baharu dengan pelbagai kemudahan dan berpagar. Kebanyakan mangsa yang mendaftar juga menyewa,” katanya.
Menurut Borhan, penyewa juga boleh memohon untuk meneruskan sewaan selepas tempoh enam bulan berdasarkan kelayakan untuk dipertimbangkan.
Borhan sebelum ini memaklumkan mangsa kebakaran gas di Putra Heights boleh melanjutkan tempoh sewaan sehingga lima tahun menerusi skim Smart Sewa.
Menurutnya, penyewa di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang itu juga layak ditawarkan unit Rumah Selangorku jika berminat.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri menawarkan 100 unit rumah Smart Sewa di Sepang yang sebahagiannya dibiayai Kerajaan Selangor.
Selain itu, keluarga yang terjejas juga akan diberi bantuan sewaan untuk tempoh enam bulan dengan kadar RM2,000 sebulan bagi setiap rumah.
[caption id="attachment_696949" align="aligncenter" width="1027"] EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah bersama Abu Samah Rahmat, 58, melihat ruang dalam Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang Selangor pada 16 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]