SHAH ALAM, 16 APRIL: Sejumlah RM4.74 juta berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Selangor Prihatin bagi membantu mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April lalu.
Dato' Menteri Besar Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan pasca tragedi tersebut.
"Semoga segala usaha, kerjasama, dan semangat solidariti yang terjalin ini terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat," kata Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook.
Terdahulu beliau mempengerusikan Taklimat Khas Insiden Letupan Paip Gas mengenai langkah segera yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri dalam menangani kesan insiden serta memastikan kebajikan mangsa terus menjadi keutamaan.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta, korporat, dan individu melalui Tabung Selangor Prihatin.
Sumbangan boleh disalurkan ke nombor akaun CIMB 8604747531 atas nama Bendahari Negeri Selangor, dengan rujukan Putra Heights.
Dalam kejadian pada 2 Syawal itu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar dengan api yang menjulang setinggi lebih 30 meter.
Kebakaran tersebut turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dan keluasan sekitar 21x24 meter di lokasi kejadian.