GEORGE TOWN, 16 APRIL: Beberapa kawasan di Pulau Pinang dinaiki air awal pagi ini susulan hujan lebat lebih tiga jam sejak malam tadi.
Antara kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Jalan P. Ramlee, Kampung Masjid, Jalan Thean Teik dan Green Garden di George Town dan Taman Siakap di Seberang Jaya dengan penduduk serta kenderaan mereka dipindahkan ke tempat selamat.
Namun, setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Timur Laut, pihaknya menerima maklumat awal berlaku banjir kilat dan beberapa kawasan dinaiki air pada 1.40 pagi selepas hujan lebat sejak 11 malam tadi.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati beberapa rumah dan laluan utama dinaiki air hingga kenderaan tidak dapat melalui kawasan tersebut.
“Air naik dengan cepat dan melimpah masuk ke dalam rumah penduduk kerana hujan lebat yang berlaku dalam tempoh singkat, kami memberikan bantuan awal pemindahan kepada mangsa ke tempat tinggi di kediaman masing-masing, selain membantu mengalihkan barangan dan kenderaan awam ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap APM, hujan telah berhenti pada 3 pagi dan air mulai surut serta tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa melibatkan mangsa dilaporkan.
Sementara itu, jurucakap APM daerah Seberang Perai Tengah berkata beberapa rumah di Taman Siakap turut dinaiki air selepas hujan lebat dan sehingga 3.10 pagi tadi banjir belum surut.
Menurutnya, semua penduduk tidak dipindahkan dan mereka berada di tingkat dua rumah masing-masing.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengelak melalui jalan yang dinaiki air bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
- BERNAMA