ad
AGENDA

Ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain

16 Apr 2025, 1:30 AM
Ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain
Ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Ringgit memulakan urus niaga hari ini dengan hampir mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah peningkatan kecil Indeks Dolar AS (DXY) kepada 100.215 mata selepas kekal di bawah paras 100 mata dalam beberapa hari sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keadaan itu didorong oleh sentimen berhati-hati pasaran susulan ketidaktentuan berterusan mengenai dasar tarif AS.

Setakat 8 pagi ini, ringgit berada pada 4.4100/4200 berbanding dolar AS, berbanding penutupan Selasa pada 4.4100/4155.

Beliau berkata hala tuju dasar tarif AS itu masih celaru dengan tiada petunjuk jelas sama ada China akan tunduk kepada tekanan AS untuk memulakan rundingan dalam senario perang perdagangan ketika ini.

[caption id="attachment_436314" align="alignleft" width="500"] Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid bercakap ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

“Prestasi niaga hadapan ekuiti AS yang negatif juga menunjukkan potensi pendapatan korporat yang lebih lemah pada masa akan datang yang berkemungkinan disebabkan oleh impak tarif ke atas China.

“Memandangkan DXY lebih kukuh, gandingan dolar AS-ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.41 hingga 4.42 pada hari ini," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain, termasuk meningkat berbanding euro kepada 4.9815/9928 daripada 4.9996/5.0059 semalam.

Ringgit juga meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0818/0890 daripada 3.0852/0895 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.8353/8485 daripada 5.8366/8439.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3455/3536 daripada 3.3498/3545 sebelum ini namun susut berbanding baht Thailand kepada 13.1815/2201 daripada 13.1461/1708.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah pada 262.0/262.7 daripada 262.0/262.5 dan susut sedikit berbanding peso Filipina pada 7.76/7.79 daripada 7.76/7.78.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.