ad
AGENDA

PGA rampas lembu, kambing seludup dari Thailand bernilai lebih RM273,000

15 Apr 2025, 3:45 PM
PGA rampas lembu, kambing seludup dari Thailand bernilai lebih RM273,000

KOTA BHARU, 15 APRIL: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 10 ekor lembu dan 25 kambing yang dipercayai diseludup dari Thailand dalam Operasi Taring Wawasan di Tanah Merah dan Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam operasi pertama di Felda Kemahang 3, Tanah Merah, pihaknya menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada jam 8.45 malam.

"Pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan menemukan 25 ekor kambing dengan anggaran nilai RM177,500.

"Seorang lelaki berusia 33 tahun yang memandu lori terbabit ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan haiwan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya dalam operasi kedua di laluan Kampung Lubok Setol ke Kampung Bukit Tandak, Pasir Mas, pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan lembu kira-kira jam 11 malam selepas menahan sebuah lori dan seorang lelaki berusia 43 tahun.

"Hasil pemeriksaan menemukan 10 ekor lembu di dalam lori tersebut dengan anggaran nilai RM96,000, dan pemandu gagal mengemukakan dokumen berkaitan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan semua haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.