ad
BERITA UTAMA

Penjawat awam Selangor terima bonus setengah bulan gaji hari ini

15 Apr 2025, 11:00 AM
Penjawat awam Selangor terima bonus setengah bulan gaji hari ini
Penjawat awam Selangor terima bonus setengah bulan gaji hari ini

SHAH ALAM, 15 APRIL: Lebih 18,000 penjawat awam negeri ini menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM500 hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan Insentif Hasil Negeri itu merupakan tanda penghargaan atas rekod pencapaian kutipan hasil yang luar biasa tahun lalu.

“Semoga insentif ini dapat membantu menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mereka yang telah menabur budi dan khidmat kepada rakyat Selangor,” katanya di Facebook.

Sempena majlis Mahabbah Ramadan Madani pada 19 Mac, Amirudin mengumumkan bantuan tambahan berkenaan menjadikan keseluruhan bantuan sempena Aidilfitri sebanyak sebulan setengah gaji.

Jelasnya pemberian melibatkan RM38.75 juta implikasi kewangan itu berikutan pencapaian semasa prestasi negeri yang memberangsangkan dengan rekod kutipan hasil setakat itu mencecah hampir RM700 juta.

Beliau turut mengumumkan jumlah peruntukan berkenaan turut merangkumi pemberian RM250 kepada 50,000 kakitangan persekutuan berpendapatan RM3,000 ke bawah yang berkhidmat di negeri ini.

Insentif juga dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, kampung bagan, penyelia Wanita Berdaya Selangor dan Penggerak Belia Selangor sebanyak setengah bulan elaun ataupun minimum RM500.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut menyumbang RM500 kepada petugas masjid antaranya nazir, imam, siak dan bilal.

Sebelum ini, menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Amirudin mengumumkan pemberian BKK 2024 sebanyak dua bulan kepada semua penjawat awam yang akan dibayar secara berperingkat.

BKK pertama dibayar pada 30 Disember lalu dan bayaran kedua dilunaskan pada 25 Mac sempena sambutan Aidilfitri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.