ad
AGENDA

Idea Tun Abdullah tubuh koridor ekonomi lonjak Sarawak, manfaat dirasai hingga kini

15 Apr 2025, 10:07 AM
Idea Tun Abdullah tubuh koridor ekonomi lonjak Sarawak, manfaat dirasai hingga kini

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Timbalan Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi antara pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

Dato' Seri Fadillah Yusof berkata antara sumbangan besarnya terhadap negeri itu termasuklah penubuhan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang sangat berjaya ketika ini.

Katanya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada negara kerana beliau adalah pemimpin yang telah banyak menaburkan jasa kepada Malaysia.

“Dalam konteks negara, beliau adalah pemimpin yang terapkan konsep Islam Hadhari iaitu satu dan membudayakan budaya yang baik kepada kita.

“Dalam konteks Sarawak beliau telah bawa SCORE yang sekarang ini sangat berjaya. Banyak lagi sumbangan, tapi inilah sebahagian sumbangan besar kepada negara dan negeri Sarawak.

“Bagi pihak saya sendiri, Premier Sarawak dan seluruh rakyat Sarawak menzahirkan ucapan takziah. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya ditemui di Masjid Negara hari ini.

Terdahulu jenazah Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat disemadikan dengan penuh penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, di sini kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Istiadat penuh tertib dan hormat yang diadakan sejurus selesai solat Zuhur itu sebagai tanda penghargaan tertinggi negara atas jasa dan sumbangan negarawan itu kepada tanah air.

Pengebumian itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang kenamaan, ahli keluarga Allahyarham, pemimpin kanan kerajaan dan parti politik.

 

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.