ad
AGENDA

Selangor capai prestasi positif dalam RS-1, fokus teruskan sasaran RS-2

15 Apr 2025, 9:00 AM
Selangor capai prestasi positif dalam RS-1, fokus teruskan sasaran RS-2

SHAH ALAM, 15 APRIL: Lapan daripada 16 pencapaian makro indikator dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun berjaya dicapai, kata pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Dato' Johary Anuar berkata antara indikator dicapai ialah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan yang diluluskan dalam sektor utama, pekerjaan dan pendapatan isi rumah penengah.

"Bagi pertumbuhan KDNK yang diletakkan dalam teras satu iaitu pengukuhan ekonomi berjaya dicapai dengan 8.5 peratus berbanding sasaran 6.5 hingga 7.5 peratus. Begitu juga dengan pelaburan kita capai RM101.9 bilion daripada sasaran ditetapkan antara RM23 hingga RM35 bilion.

"Bagaimanapun, antara yang masih dalam pelaksanaan seperti kemiskinan mutlak ...program ini masih berterusan dan sedang giat dijalankan tahun ini supaya sasaran dapat dicapai.

"Selain itu, bagi makro indikator yang tidak dicapai akan dibawa ke Rancangan Selangor Kedua (RS-2) untuk diteruskan," katanya ditemui pada sesi bengkel strategik RS-2 di sini, semalam.

Terdahulu, beliau memaklumkan petunjuk makro indikator lain yang berjaya dicapai adalah ketersediaan air bersih setiap jam dalam sehari, kadar kitar semula sisa, pengekalan liputan hutan simpanan kekal dan tahap kepuasan penduduk terhadap perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.

RS-1 diumum pada Julai 2022 di Dewan Negeri Selangor (DNS) bertujuan membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat selain mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus KDNK menjelang 2025.

Melibatkan beberapa projek besar antaranya Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan projek Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS),ia juga merupakan pelan mendepani ekonomi global yang dijangka perlahan tahun hadapan.

Empat teras strategik RS-1 meliputi pengukuhan sektor ekonomi, sosial, memacu agenda kelestarian dan peningkatan kecekapan tadbir urus.

Dalam pada itu, beliau yang juga timbalan setiausaha kerajaan (pembangunan) menjelaskan semua agensi perlu memainkan peranan bagi menggerakkan RS-1 yang direncana demi manfaat rakyat.

"Cabaran besar dalam melaksana RS-1 adalah memastikan sasaran dalam RS-1 dicapai dengan melibatkan semua agensi bersama Kerajaan Negeri untuk menggerakkan RS-1.

"Sebab itu, kajian separuh penggal RS-1 wujud terutama pembangunan berteraskan daerah untuk memastikan program-program ditetapkan dapat dilaksana," ujarnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.