SHAH ALAM, 15 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan tujuh syarikat kepada mangsa insiden letupan gas di Putra Heights pada 1 April.
Serahan menerusi Tabung Selangor Prihatin kepada pegawai kewangan Datuk Dr Haniff Zainal Abidin dilakukan sempena majlis rumah terbuka Invest Selangor hari ini.
Syarikat yang memberi sumbangan ialah Gabungan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Sime Darby Property Berhad dan UMW Corporation Sdn Bhd.
Turut menyumbang Apical Scientific Sdn Bhd, Sepang Goldcoast Sdn Bhd, NCT Group of Companies dan Hextar Oiltech Sdn Bhd.
Berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA di sini, majlis turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta barisan pentadbiran negeri selain ribuan tetamu.
Sebelum ini Kerajaan Negeri mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak sama ada swasta, korporat mahupun individu kepada mangsa kebakaran di Putra Heights menerusi Tabung Selangor Prihatin.
Tabung berkenaan merupakan inisiatif tambahan selain usaha berterusan membantu meringankan beban mangsa dan boleh dibuat menerusi nombor akaun CIMB 8604747531(Bendahari Negeri Selangor), dengan rujukan Putra Heights.
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.