ad
AGENDA

Jenazah Tun Abdullah selamat disemadi di Makam Pahlawan

15 Apr 2025, 7:10 AM
Jenazah Tun Abdullah selamat disemadi di Makam Pahlawan

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Jenazah Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat disemadi penuh penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, di sini kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Istiadat penuh tertib dan hormat yang diadakan sejurus selesai solat Zuhur itu sebagai tanda penghargaan tertinggi negara atas jasa dan sumbangan negarawan itu kepada tanah air.

Pengebumian itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang kenamaan, ahli keluarga Allahyarham, pemimpin kanan kerajaan dan parti politik.

Ia turut disaksikan orang ramai yang menanti sejak jam 9 pagi tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu, solat jenazah diketuai Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni dan disertai Anwar serta ribuan hadirin lain. Selesai solat jenazah, istiadat diteruskan dengan pengebumian jenazah.

Tun Abdullah yang juga mesra dengan panggilan 'Pak Lah', disahkan meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, jam 7.10 malam, semalam.

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Abdullah ialah pelopor dan pengasas kepada satu konsep baharu dalam pembangunan negara berasaskan kekuatan pembangunan modal insan.

Allahyarham memperkenalkan Islam Hadhari yang memfokus kepada peningkatan pembangunan serta kualiti kehidupan masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang dan pembangunan modal insan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.