ad
AGENDA

Putrajaya siar dokumentari, profil Tun Abdullah di pelbagai platform

15 Apr 2025, 7:00 AM
Putrajaya siar dokumentari, profil Tun Abdullah di pelbagai platform
Putrajaya siar dokumentari, profil Tun Abdullah di pelbagai platform

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Dokumentari dan profil memaparkan kejayaan Malaysia di bawah pentadbiran Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan disiarkan di pelbagai platform Kementerian Komunikasi.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bagi memastikan rakyat terutama generasi muda diberi pendedahan mengenai jasa negarawan berkenaan.

“Semestinya bagi Kementerian Komunikasi saya akan minta supaya profil dan sedikit dokumentari tentang apa yang telah berjaya dilaksanakan sewaktu pentadbiran Perdana Menteri kelima diulang siar untuk tatapan terutama generasi muda,” katanya.

Beliau ditemui selepas selesai memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Tun Abdullah di Dewan Solat Utama, Masjid Negara di sini hari ini.

Kerajaan semalam memutuskan supaya jenazah perdana menteri kelima itu diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara, hari ini.

Penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama Masjid Negara bermula dan jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara, dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

[caption id="attachment_696786" align="alignnone" width="995"] Jenazah Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi ditempatkan di ruang solat utama di Masjid Negara pada 15 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]

Tun Abdullah yang juga mesra dengan panggilan 'Pak Lah', disahkan meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, jam 7.10 malam, semalam.

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi perdana menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Abdullah ialah pelopor dan pengasas kepada satu konsep baharu dalam pembangunan negara berasaskan kekuatan pembangunan modal insan.

Allahyarham memperkenalkan Islam Hadhari yang memfokus kepada peningkatan pembangunan serta kualiti kehidupan masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang dan pembangunan modal insan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.