KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Dato’ Menteri Besar menyifatkan penghormatan istiadat Pengebumian Negara yang diberikan kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi tanda penghargaan Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia terhadap jasa negarawan itu.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selaku perdana menteri dan pentadbir yang begitu lama dalam Kerajaan, sudah pasti banyak jasa Allahyarham dalam membangunakan Malaysia.
“Saya mewakili pentadbiran negeri Selangor dan rakyat ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Tun Abdullah. Selaku perdana menteri dan juga pentadbir yang begitu lama dalam Kerajaan sudah pasti banyak jasa beliau yang telah disumbangkan kepada negara.
“Penghormatan negara (istiadat Pengebumian Negara) yang diberikan hari ini sebagai tanda penghargaan atas segala sumbangannya dan jerih perih beliau dalam politik sepanjang pentadbirannya,” katanya selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Dewan Solat Utama Masjid Negara hari ini.
[caption id="attachment_696781" align="alignleft" width="500"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika ditemui pada istiadat Pengebumian Negara Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 15 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Kerajaan semalam memutuskan supaya jenazah perdana menteri kelima itu diberi penghormatan istiadat Pengebumian Negara, hari ini.
Penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama Masjid Negara bermula dan jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara, dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Tun Abdullah yang juga mesra dengan panggilan Pak Lah, disahkan meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, jam 7.10 malam, semalam.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi perdana menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Abdullah ialah pelopor dan pengasas kepada satu konsep baharu dalam pembangunan negara berasaskan kekuatan pembangunan modal insan.
Allahyarham memperkenalkan Islam Hadari yang memfokus kepada peningkatan pembangunan serta kualiti kehidupan masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang dan pembangunan modal insan.