ad
AGENDA

Tun M: Pak Lah tonjol legasi kepimpinan baik

15 Apr 2025, 4:50 AM
Tun M: Pak Lah tonjol legasi kepimpinan baik

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Bekas perdana menteri keempat menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin yang menonjolkan kepimpinan baik dalam legasinya.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian selepas hadir memberi penghormatan terakhir kepada negarawan itu di Dewan Solat Utama Masjid Negara di sini hari ini.

“Bila saya bersara, Tun Abdulllah ambil alih jadi perdana menteri. Bila dia jadi perdana menteri, dia memimpin dengan berjaya pada 2004, dengan kejayaan yang tercemerlang pada 2004 dalam sejarah iaitu 90 peratus undi untuk kerajaan pimpinannya.

“Selepas itu dia menghadapi banyak masalah sebab, prestasinya dalam pilihan raya 2008 tidak begitu baik dan ramai gesa supaya dia letak jawatan. Dia tiada masalah, dia letak jawtaan dan serah jawatan itu kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Inilah cara kita di Malaysia. Apabila kita bersara kita pergi dengan mudah tanpa masalah dan kita serah kepada pengganti kita. Kalau amalan ini diteruskan, insya-Allah Malaysia akan menjadi negara yang aman. Inilah contoh yang ditunjuk Tun Abdullah,” katanya.

Terdahulu jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara di sini jam 8.22 pagi untuk pengurusan jenazah dan dibawa masuk ke Dewan Solat Utama jam 8.37 pagi diiringi ahli keluarga terdekat.

Antara kenamaan yang turut dilihat hadir memberi penghormatan termasuk bekas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Selain itu, bekas Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Razak turut dilihat hadir memberi penghormatan akhir.

Kerajaan semalam memutuskan supaya jenazah perdana menteri kelima itu diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara, hari ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.