ad
AGENDA

Mahkamah benarkan Najib hadiri istiadat pengebumian Tun Abdullah

15 Apr 2025, 4:33 AM
Mahkamah benarkan Najib hadiri istiadat pengebumian Tun Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyerahkan permohonan rasmi kepada Jabatan Penjara, bagi mendapat kebenaran untuk menghadiri istiadat pengebumian Perdana Menteri Malaysia Kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara semalam.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah demikian pada perbicaraan kes yang sedang dihadapi Najib hari ini.

“Yang Arif, anak guam saya telah memohon kepada Jabatan Penjara untuk menghadiri pengebumian dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah. Ia akan diadakan di Masjid Negara, dan solat jenazah dijadualkan selepas waktu Zohor,” kata Muhammad Shafee.

Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu, dan mahkamah kemudiannya membenarkannya. Perbicaraan akan bersambung esok.

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Sequerah mengarahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.