ad
AGENDA

Belasungkawa: Pemimpin tertinggi negeri kenang jasa Pak Lah

15 Apr 2025, 4:21 AM
Belasungkawa: Pemimpin tertinggi negeri kenang jasa Pak Lah
Belasungkawa: Pemimpin tertinggi negeri kenang jasa Pak Lah
Belasungkawa: Pemimpin tertinggi negeri kenang jasa Pak Lah

SHAH ALAM, 15 APRIL: Pemergian bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi malam tadi, dikenang beberapa pemimpin negeri yang menyifatkannya kehilangan besar buat negara.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pentadbiran Allahyarham selama enam tahun meninggalkan banyak legasi yang baik kepada negara sehingga hari ini.

Menurutnya, Allahyarham yang dikenali sebagai Pak Lah memperkenal pembangunan ekonomi mengikut koridor wilayah, termasuk Koridor Pembangunan Ekonomi Utara (NCER) merangkumi Kedah.

[caption id="attachment_665345" align="alignleft" width="414"] Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Foto BERNAMA[/caption]

“Allahyarham Tun Abdullah turut dikenang atas keprihatinannya terhadap bidang pendidikan Islam. Pada zaman pentadbirannya, program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab, Fardu Ain) diperkenal dalam sistem pembelajaran sekolah pada 2004.

“Selain itu, beliau juga dikenali atas usaha memajukan industri halal, mengamalkan dasar kepimpinan terbuka serta memperkasa seni kebangsaan, khususnya dalam memperkenal batik sebagai warisan budaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata jasa Allahyarham yang memperkenal NCER berjaya merancakkan ekonomi setempat di samping menyumbang pertumbuhan ekonomi negara.

“Antara sumbangan besar yang telah ditinggalkan beliau, penubuhan Pembangunan Lima Koridor Ekonomi terutama NCER semasa kepimpinan beliau.

“Sehingga kini, koridor-koridor tersebut memainkan peranan yang penting dalam merancakkan ekonomi negeri Perlis. Terima kasih Tun Abdullah,” katanya menerusi Facebook.

[caption id="attachment_320961" align="alignright" width="426"] Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar[/caption]

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah sebagai seorang negarawan ulung yang banyak berjasa kepada negara.

Beliau berkata, Pak Lah akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat, berhemah tinggi dan disanjung sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia.

“Di bawah pentadbiran beliau juga, selain pembangunan modal insan, pengukuhan integriti dalam tadbir urus serta ketelusan dalam institusi kerajaan diberi keutamaan.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi Facebook.

Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada jam 7.10 petang semalam dan akan disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur.

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.