SHAH ALAM, 15 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak menzahirkan dukacita terhadap pemergian Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang meninggal dunia malam tadi.
Menerusi istiadat pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama seluruh rakyat bersedih atas kehilangan negarawan itu, lapor Astro Awani.
"Beta bersama Raja Permaisuri, Dewan ini dan seluruh rakyat Beta di negeri Perak menzahirkan rasa dukacita atas kembalinya ke Rahmatullah Tun Abdullah, dan menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah dan keluarga Allahyarham," titah baginda.
Sebagai tanda berkabung dan menghormati pemergian Allahyarham, baginda turut menitahkan supaya bendera negeri Perak dikibarkan separuh tiang hari ini.
Tun Abdullah, meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara, malam tadi.
Perkara itu disahkan menantunya Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di media sosial. Allahyarham yang dikenali dengan panggilan Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir jam 7.10 malam.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Negara pagi ini dan akan dikebumikan di Makam Pahlawan.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Allahyarham menjadi perdana menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.