ad
AGENDA

Syed Hamid Albar: Pak Lah sahabat dan majikan terbaik

15 Apr 2025, 2:12 AM
Syed Hamid Albar: Pak Lah sahabat dan majikan terbaik

SHAH ALAM, 15 APRIL: Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan seorang sahabat dan majikan terbaik, demikian luah bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar.

Syed Hamid berkata beliau mempunyai hubungan yang amat rapat dengan Allahyarham Abdullah sepanjang tempoh sembilan tahun menggalas tanggungjawab sebagai menteri luar.

"Saya selalu dengan beliau bukan sahaja sebagai menteri luar tetapi sebagai kawan.

“Saya tengok pemimpin luar pun mesra dengannya kerana cara dan pendekatan beliau yang tidak agresif, orang kata beliau macam 'wali'," katanya, lapor portal Astro Awani.

Syed Hamid ditemui pemberita ketika hadir menziarahi jenazah Allahyarham Abdullah di kediamannya di Persiaran Tuanku Jaafar, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Sepanjang menerajui negara, kata Syed Hamid, Allahyarham Abdullah terkenal sebagai seorang pemimpin yang mesra rakyat serta membawa banyak perubahan yang baik kepada negara.

Justeru, beliau menyifatkan pemergian Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah sebagai satu kehilangan besar buat negara.

“Kita fikir satu kehilangan, seorang negarawan, seorang pemimpin yang cukup dedikasi kepada tugasnya yang sederhana yang membawa Islam Hadari.

"Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.