ad
AGENDA

Rakyat berpeluang beri penghormatan terakhir di Masjid Negara esok

14 Apr 2025, 2:54 PM
Rakyat berpeluang beri penghormatan terakhir di Masjid Negara esok

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi boleh berbuat demikian di Masjid Negara, dari 11 pagi hingga 1 tengah hari esok.

Menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin berkata jenazah selepas itu akan dibawa ke Makam Pahlawan untuk dikebumikan.

"Selepas ini, jenazah Tun Abdullah akan dibawa (dari IJN) ke kediaman beliau di Kuala Lumpur dan esok pagi, jenazah akan dibawa ke Masjid Negara.

"Sesiapa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah (Tun Abdullah) bolehlah datang ke Masjid Negara," katanya pada sidang media selepas menuntut jenazah Tun Abdullah di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, malam ini.

Turut hadir anak Allahyarham Tan Sri Kamaluddin dan Nori yang juga isteri Khairy.

Abdullah meninggal dunia di IJN pada 7.10 malam ini pada usia 85 tahun.

Khairy berkata bagi bukan Muslim, mereka dinasihatkan memakai pakaian yang bersesuaian untuk masuk ke dalam masjid.

"Bagaimanapun, jubah akan disediakan oleh pihak Masjid Negara. Selepas Zohor, akan diadakan solat jenazah.

"Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kebenaran untuk jenazah Pak Lah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara," kata Khairy.

Menurut beliau Abdullah meninggal dunia dalam keadaan tenang selain semua ahli keluarga turut berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.