SHAH ALAM, 14 APR: Projek pelebaran parit di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong, yang dianggarkan bernilai RM15 juta, dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan itu.
Wakil rakyat Seri Serdang Abbas Azmi berkata dijangka bermula tahun ini, projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dijangka mampu meningkatkan kapasiti saliran sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
“Saya difahamkan oleh JPS, ada satu projek di Kampung Kuala Sungai Baru iaitu besarkan parit dengan kos anggaran RM15 juta dan dijangka bermula dalam masa terdekat.
“Selain itu, banjir ini banyak faktor penyebab juga, bukan hanya infrastruktur tetapi perubahan iklim, pasang surut air laut dan sebagainya.
“Yang kita boleh buat saya rasa adalah dengan mengurangkan risiko menerusi pelbagai usaha termasuklah menjaga alam sekitar dengan mengelak buang sampah ke dalam longkang atau saliran sehingga tersumbat yang menjadi antara punca banjir kilat,” katanya kepada Media Selangor.
Jumaat lalu, beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi sekitar Puchong, Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.
EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi berkata insiden itu susulan hujan lebat yang bertembung dengan febomena air pasang besar selain menasihatkan penduduk terjejas berpindah ke PPS sekiranya diarahkan, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Banjir itu turut mengorbankan dua mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik selain ratusan yang lain berteduh di PPS.