SHAH ALAM, 14 APRIL: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merakam ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga dan sahabat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam ini.
Beliau berkata pemergian bekas perdana menteri kelima itu kehilangan besar buat rakyat Malaysia.
"Moga Allah SWT menempatkan roh beliau di kalangan mereka yang beriman, Insya-Allah. Inalillahwainnailaihirajiun," katanya menerusi Facebook sebentar tadi.
Tun Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dan ia disahkan menantunya Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Instagram hari ini.
Difahamkan Allahyarham dimasukkan ke IJN pada 3 pagi semalam dan jenazah sudah dibawa ke kediaman Allahyarham, Bait Badawi yang terletak berhampiran Carcosa Seri Negara.
Jenazah dijangka dikebumikan di Makam Pahlawan esok.