ad
AGENDA

Hanya 200m dari lokasi kebakaran, mangsa syukur rumah tidak hangus

14 Apr 2025, 1:00 PM
Hanya 200m dari lokasi kebakaran, mangsa syukur rumah tidak hangus
Hanya 200m dari lokasi kebakaran, mangsa syukur rumah tidak hangus

SUBANG JAYA, 14 APRIL: Seorang penduduk Putra Heights tidak menyangka rumahnya masih elok, meskipun terletak hanya 200 meter dari lokasi kebakaran saluran paip gas yang menggemparkan negara pada 1 April lepas.

Robiah Arbari, 65, berkata tindakan pantas anaknya menyiram rumah dengan air berjaya menyelamatkan struktur kediaman yang dibina atas tanah pusaka arwah bapanya itu.

“Ingatkan rumah dah hangus terbakar... Alhamdulillah, bila balik dari pusat pemindahan sementara (PPS) semalam, rumah masih elok, cuma bumbung bocor,” katanya kepada Bernama di Kampung Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Beliau dan empat ahli keluarga berpindah ke PPS di Masjid Putra Heights sejak hari kejadian, namun seorang anak lelakinya kekal di rumah bagi mengelak kejadian pecah masuk.

Menceritakan detik cemas itu, Robiah berkata beliau terdengar bunyi kuat seperti kapal terbang terhempas sebelum melihat ‘api macam cendawan’ menjulang di langit.

“Saya kejutkan suami, ajak lari. Api dah dekat sangat. Saya bawa cucu umur empat dan enam tahun ikut jalan belakang ke sungai, bahangnya macam nak terbakar muka,” katanya.

[caption id="attachment_695724" align="alignnone" width="1016"] Keadaan lokasi tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 4 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Sementara itu, anaknya Faridil Attros, 41, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata beliau memilih untuk tidak berpindah ke PPS demi menjaga rumah berkenaan daripada diceroboh.

“Lori saya rosak teruk, belum boleh kerja. Barang-barang pun banyak, tak dapat tinggal rumah,” katanya yang menyara isteri dan tiga anak.

Beliau berkata semasa melarikan diri, anaknya yang berusia empat tahun berkata kepada neneknya, “Nenek, saya tak nak mati”, dan kata-kata itu amat menyentuh hatinya.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan sekitar rumah Robiah masih dikawal ketat pihak polis, dengan sekatan jalan di laluan ke lokasi ground zero.

Kejadian pukul 8.10 pagi itu mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.