ad
AGENDA

Bursa Malaysia: Pasaran saham negara kukuh meski berdepan tekanan global

14 Apr 2025, 8:39 AM
Bursa Malaysia: Pasaran saham negara kukuh meski berdepan tekanan global

KUALA LUMPUR 14 APRIL: Pasaran saham negara diyakini kukuh meskipun berdepan tekanan global susulan pengumuman tarif baharu Amerika Syarikat, kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau menekankan kepentingan memastikan daya tahan dalam kalangan syarikat tempatan serta kekuatan asas ekonomi Malaysia terus diperkukuh.

“Dalam konteks pasaran saham, kita ingin melihat syarikat meningkatkan daya tahan mereka.

“Ini dilaksanakan, antaranya menerusi pelaksanaan program transformasi syarikat tersenarai, iaitu Program Transformasi Syarikat Tersenarai Awam (PLCT),” katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan meja bulat antara Bursa Malaysia, Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) dan CIMB Group Holdings Bhd di Bursa Malaysia hari ini.

Abdul Wahid berkata syarikat tersenarai terus memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi dan asas masing-masing, justeru apa jua keadaan atau faktor luaran, kesannya dapat diminimumkan.

Dalam konteks ketidaktentuan semasa, Abdul Wahid berkata semua syarikat pasti terkesan, bagaimanapun tahap kesannya berbeza mengikut sektor.

“Kita perlu melihat dalam konteks relatif. Jika merujuk kepada tarif sahaja, kesannya bergantung kepada sektor masing-masing. Sebagai contoh, bagi sektor elektronik, masih banyak pengecualian diberikan...buat masa ini kesannya adalah minimum.

“Namun, memandangkan keadaan global masih tidak menentu dan dasar boleh berubah, ini menimbulkan ketidaktentuan terutamanya dari segi tempahan dan pengeluaran, dijangka terjejas,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 55 syarikat telah disenaraikan tahun lalu dan Bursa Malaysia menyasarkan 60 penyenaraian tahun ini. Setakat ini, 15 syarikat telah disenaraikan, dua di Pasaran Utama dan 13 di Pasaran ACE.

“Ada juga syarikat memutuskan untuk menangguhkan tempoh penyenaraian mereka. Ketika ini, memang ada yang menyesuaikan semula garis masa masing-masing.

“Insya-Allah, saya yakin, selepas beberapa bulan apabila keadaan pasaran kembali stabil dan terdapat kejelasan mengenai faktor luaran ini, lebih banyak syarikat akan meneruskan rancangan penyenaraian mereka,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.